Manifesto Pembangkang Kedah Temberang, Populis


PADANG TERAP - Janji pakatan pembangkang untuk menyelesaikan masalah air di Kedah dalam tempoh 100 hari jika berjaya membentuk kerajaan negeri, disifatkan sebagai tawaran temberang yang bertujuan memancing undi.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, menyifatkan tawaran itu sebagai tindakan populis dan tidak realistik, yang hanya bermotifkan mencari sokongan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Katanya, pakatan pembangkang Kedah yang diketuai Datuk Seri Mukhriz Mahathir seharusnya lebih tahu tawaran itu sukar dilaksanakan kerana membabitkan banyak perkara.

"Mukhriz pernah menjadi Menteri Besar Kedah... dia sepatutnya tahu masalah air tidak boleh selesai dalam 100 hari. Mereka ini hanya temberang saja dan menawarkan sesuatu yang bersifat populis.

"Demi mahu jadi popular, mereka meletakkan satu jangka masa begitu pendek untuk selesaikan isu ini.... mana mungkin ia boleh dilakukan kerana masalah bekalan air membabitkan air mentah, aspek takungan, pemprosesan air, penyaluran air kepada penduduk dan industri.

"Di sini ada tiga perkara penting perlu diselesaikan. Ada tempat di mana sumber air tidak cukup, ada yang jauh dan berbukit, malah jika membabitkan paip, mungkin perlu gantikan paip yang lebih besar dan jika berkaitan loji, ia perlu diperbaiki ataupun ditambah.

"Bayangkan jika tambah loji, ia tidak akan berlaku dalam jangka masa singkat kerana semua ini membabitkan jawatankuasa, kewangan, pasukan profesional dan sasaran pelaksanaan, maka barulah ia boleh dilakukan.

"Tempoh masa (diperlukan), bukannya dalam 100 hari kerana paling kurang pun setahun," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Pendidikan Bil 6/2018 di Sekolah Kebangsaan Kuala Nerang di sini, semalam.

Mahdzir berkata mengulas tawaran pakatan pembangkang yang menawarkan 10 janji Manifesto PRU-14 yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari jika berjaya berjaya membentuk kerajaan di Kedah.

Tawaran manifesto itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Manifesto Kedah, Datuk Johari Abdul pada program pelancaran Manifesto PRU-14 di Bukit Jenun, malam kelmarin.

Mahdzir berkata semua projek membabitkan bekalan air perlu melalui tatacara kewangan dalam menyusun hala tuju sesebuah projek.

"Kita perlu kaji mana kawasan bermasalah dan mana yang tidak. Jika perlu bina loji, perlu ambil masa lebih setahun kerana pelbagai aspek perlu diselesaikan.

"Jika perlu naik taraf atau pasang paip... pemasangannya tidak boleh diselesaikan dalam tempoh masa singkat kerana perlu melalui proses yang ditetapkan kerajaan seperti reka bentuk, tender, kos dan pelaksanaan. Kalau nak buat dalam 100 hari, ia tidak boleh berlaku," katanya.

Mahdzir berkata, perkara sama juga berlaku dalam pakatan pembangkang di peringkat tertinggi apabila didakwa terpaksa mengikut kehendak DAP dengan menawarkan penghapusan tol, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

"Seperti tawaran menghapuskan tol, Tun Dr Mahathir Mohamad pun sebenarnya tidak bersetuju kerana tanpa kutipan tol, maka kerja penyelenggaraan tidak boleh dilaksanakan.

"Namun disebabkan DAP yang berkuasa (dalam gabungan pembangkang), beliau bersetuju dalam keadaan tidak rela dan begitu juga dengan kepemimpinan PKR dan PAN (Parti Amanah Negara) yang hanya mampu akur.

"Saya nampak mereka menawarkan semua janji ini kerana mahu menjadi popular," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com