Manifesto BN Pusat, Negeri Mampu Bangunkan Kubang Pasu Sebagai Hab Perindustrian


JITRA - Kawasan Bukit Kayu Hitam yang terletak di utara Kedah dan bersempadan dengan Thailand telah dirancang untuk dibangunkan dengan projek mega Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ), yang akan menjadi antara pemangkin untuk memajukan Kedah yang selama ini sinonim dengan negeri pertanian.

Terletak dalam Parlimen Kubang Pasu, rancangan pembangunan kawasan itu telah dimasukkan dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) di peringkat pusat dan negeri bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Apabila pembangunan itu direalisasikan, ia akan membolehkan daerah Kubang Pasu dijadikan hab perindustrian dan perdagangan di utara Semenanjung.

Ketua bahagian UMNO Kubang Pasu Datuk Seri Mohd Johari Baharum berkata perancangan pembangunan di kawasan itu turut melibatkan pembinaan Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP) yang turut dimasukkan dalam manifesto BN Kedah baru-baru ini.

"Berasaskan dua projek berimpak besar berkenaan, saya yakin ia bakal menjadi pemacu baharu kepada pertumbuhan ekonomi Kedah serta Kubang Pasu khasnya," katanya ketika ditemui Bernama di sini baru-baru ini.

Mohd Johari yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata SBEZ yang meliputi kawasan bebas cukai berkeluasan 4,856 hektar dengan nilai pelaburan berjumlah RM50 bilion dijangka mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan dalam tempoh 15 tahun akan datang.

"Bagi projek KSTP, kita telah mendapat dana awal sebanyak RM168.8 juta yang bakal membuka 50,000 peluang pekerjaan," katanya.

Pada PRU14 9 Mei ini, Mohd Johari yang mewakili Barisan Nasional (BN) akan mempertahankan kerusi Parlimen Kubang Pasu ditentang Datuk Amiruddin Hamzah (PKR-PPBM) dan Norhafiza Fadzil (PAS).

Sementara itu, Mohd Johari berkata BN Kubang Pasu pula akan melaksanakan enam agenda utama ?Ke Arah Kubang Pasu Yang Lebih Hebat', dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menurut Johari, antaranya melalui pemerkasaan pendidikan luar bandar bagi membolehkan peningkatan pencapaian akademik di Kubang Pasu, yang selama ini direkod antara pencapaian terbaik di Kedah.

"Kita juga mempunyai kelas tuisyen percuma meliputi subjek Bahasa Inggeris dan Matematik yang dianjurkan saya dan rakan lain yakni ADUN BN dalam parlimen ini di mana sekarang ini ada sembilan tempat dan kita akan buka lagi di beberapa tempat melalui kerjasama dengan Universiti Utara Malaysia," katanya, sambil menambah, lebih RM250,000 dibelanjakan untuk kelas tuisyen berkenaan sehingga kini.

Dari sudut pertanian khusus untuk membantu penduduk luar bandar, beliau berkata BN berhasrat menjadikan Kubang Pasu sebagai pusat pengeluaran nanas yang utama di negara ini, selain limau bali, berikutan kesesuaian tanah di daerah itu.

Katanya perkara itu dibuktikan melalui kejayaan seorang pengusaha nanas di Bukit Tangga yang memiliki ladang berkeluasan hampir 40 hektar dan memperoleh pendapatan lumayan hasil mengusahakan tanaman itu.

"Kita akan memperkenalkan program mentor-mentee di mana pengusaha yang telah berjaya itu akan menjadi mentor memberi bimbingan kepada pengusaha lain dalam skala yang lebih kecil. Kalau banding di Johor sekali pun kita lebih baik dari segi kualiti (nanas), nanas MD2 misalnya sekarang ini sekilo RM5 di pasaran, dan ini saya lihat mampu beri pulangan baik kepada pengusaha," katanya menambah, ia berpotensi untuk dieksport ke negara jiran melalui pewujudan zon bebas cukai itu kelak.

Melalui agenda sukan pula, Mohd Johari berkata sebuah Kompleks Sukan Bersepadu Kubang Pasu bernilai RM35 juta akan dibina berhampiran Pejabat Daerah Kubang Pasu kelak.

"Ia akan dilengkapi pelbagai kemudahan seperti padang bola, trek balapan, gelanggang bola keranjang dan badminton akan dibangunkan pada masa akan datang," katanya.

Agenda lain membangunkan Kubang Pasu turut meliputi penyediaan infrastruktur awam yang lengkap serta penyampaian khidmat awam yang cekap dan berkualiti.- BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com