Manifesto BN Kedah Beri Penghormatan Kepada Imam


ALOR SETAR – Manifesto pilihan raya Barisan Nasional (BN) baru-baru ini menjanjikan pembinaan Pusat Latihan Imam Kebangsaan di daerah Yan dengan kos RM120 juta, 'pemberian' itu disifatkan sebagai satu penghormatan kepada imam di seluruh negara.

Penyandang kerusi Parlimen Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, golongan imam seramai 14,000 orang itu sanggat memerlukan latihan bagi melengkapkan lagi diri masing-masing.

Selain itu, dengan adanya pendedahan semasa menyertai latihan itu, Jamir percaya ia mampu meningkatkan usaha dari segi keupayaan dan pengetahuan mereka.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri turut mnedakwa manifesto Kedah bukan satu penawaran biasa serta retorik, sebaliknya realistik dan diyakini dapat ditunaikan demi kebaikan masa depan dan kesejahteraan rakyat negeri ini.

“Apatah lagi rekod prestasi BN yang cemerlang di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak apabila hampir seratus peratus iaitu 99.4 peratus aku janji PRU13 berjaya direalisasikan gagasan itu,” katanya memetik Bernama.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan kunci rumah kepada pemilik rumah Taman Permai Utama Fasa 2 anjuran Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) melalui anak syarikatnya SPNB Aspirasi Sdn Bhd (ASPIRASI) dekat Gurun, semalam.

​​​​​​​Antara turut hadir ialah Pengerusi SPNB Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad serta Penyelaras Dewan Undangan Negeri Gurun Datuk Boey Chin Gan.

Pada Jumaat lalu, Pengerusi BN Kedah yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah melancarkan manifesto BN negeri Kedah bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bertemakan ‘Menerus Kemajuan, Menzahir Impian’ dengan mengandungi tujuh kluster khusus bernilai RM65.3 bilion untuk rakyat Kedah.

Antara kluster itu turut merangkumi agama serta modal insan dengan antaranya tawaran untuk membina pusat latihan imam berkenaan sekiranya BN terus diberikan mandat menerajui negeri ini pada pilihan raya umum itu. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com