Malaysia Negara Paling Untung Harga Minyak Meningkat


KUALA LUMPUR - Malaysia adalah antara negara sedang pesat membangun yang meraih manfaat terbesar daripada kenaikan harga minyak dunia pada masa ini, demikian menurut Nomura Group.

Kumpulan perbankan antarabangsa itu dalam nota ekonominya berkata, walaupun Malaysia menjadi pengimport bersih minyak, ia kekal pengeksport utama gas asli cecair (LNG) yang menyumbang tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dengan harga produk itu amat berkait rapat dengan minyak.

Justeru, katanya Malaysia kekal sebagai penerima manfaat besar harga minyak lebih tinggi.

"Kami menganggarkan bagi setiap AS$10 setong kenaikan harga minyak, ia akan meningkatkan lebihan dagangan kira-kira 0.4 peratus daripada KDNK, sekali gus membantu mengekalkan akaun semasa dalam keadaan lebihan yang selesa iaitu 3.6 peratus daripada KDNK setakat suku keempat 2017," katanya.

Nomura berkata, memandangkan kerajaan sudah menghapuskan subsidi bahan api, inflasi indeks harga pengguna (IHP) adalah sensitif kepada harga minyak, dengan anggaran menunjukkan ia akan meningkat kira-kira 0.6 mata peratusan bagi setiap AS$10 kenaikan harga minyak.

Katanya, jika paras harga minyak semasa bertahan, inflasi akan meningkat melebihi unjuran 2.5 peratus yang dibuatnya sebelum ini dan menghampiri unjuran tertinggi Bank Negara Malaysia iaitu antara dua hingga tiga peratus.

"Bagaimanapun, kerajaan masih lagi memperoleh pendapatan hasil minyak yang tinggi, iaitu 14.8 peratus daripada bajet pendapatan keseluruhan bagi 2018.

"Ini akan memberikan ruang fiskal lebih besar selepas pilihan raya umum (PRU) dan mengurangkan keperluan untuk mengurangkan perbelanjaan dengan ketara pada separuh kedua ini, bagi mencapai sasaran defisit fiskal seluruh tahun 2.8 peratus daripada KDNK," katanya.

Secara keseluruhan, Nomura berkata harga minyak lebih tinggi akan meningkatkan risiko kenaikan unjuran pertumbuhan KDNK 5.5 peratus bagi 2018 berbanding 5.9 peratus pada 2017.

"Ia, sebaliknya memberikan ruang kepada Bank Negara Malaysia (BNM), untuk terus menormalkan dasar monetari, meningkatkan lagi risiko satu lagi kenaikan 25 mata asas kadar faedah akhir tahun ini," katanya.

Selain Malaysia, negara lain yang dijangka turut mendapat manfaat terbesar harga minyak dunia adalah Arab Saudi, Nigeria dan Colombia.

Manakala negara yang paling terjejas oleh kenaikan adalah Turki, India dan Filipina.

Sumber:BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com