Makin Ramai Rakyat Jepun Suka Jadi ‘Kera Sumbang’


SERIUS… Ikeida meninggalkan rumah sekali setiap tiga hari untuk beli makanan agar dapat jauh interaksi manusia dan tidak bersemuka dengan ibu bapa atau adik lelakinya selama 20 tahun.

Lelaki berusia 55 tahun itu memilih untuk menjauhi dirinya daripada tumpuan masyarakat, suatu fenomena biasa akibat hadapi tekanan terlalu tinggi dan ‘kaki kerja’ melampau di Jepun, yang juga dipanggil sebagai hikikomori.

Baru-baru ini, ia dianggap sebagai masalah utama terutama golongan remaja dan mereka berusia 20-an. Jepun juga telah melihat peningkatan hikikomori berusia yang telah mengurungkan diri mereka dalam tempoh masa lama.

Terdapat lebih dari setengah juta hikikomori di Jepun, menurut kajian kerajaan terbaharu diterbitkan pada 2016, ditakrifkan sebagai orang berada di rumah selama lebih daripada enam bulan tanpa pergi ke sekolah atau bekerja.


Mereka yang boleh dianggap seperti kera sumbang itu malahan mampu hidup hanya berinteraksi dengan kaum keluarga sahaja. Namun, isu ini hanya menyasarkan kepada mereka yang berumur di bawah 39 tahun.

Kerajaan Jepun telah memutuskan untuk membuat kajian pertama hikikomori dari usia antara 40 tahun dan 59 tahun. Ikeida (bukan nama sebenar) memberitahu AFP bahawa menerima ijazah dari universiti terkemuka di Tokyo.

Bahkan lelaki warga emas itu pernah menerima beberapa tawaran pekerjaan berhaji lumayan daripada pelbagai firma besar semasa tempoh ‘perkembangan pantas ekonomi’ Jepun sepanjang tahun kegemilangan 1980-an.

Tetapi dia dengan cepat menyedari bahawa tidak dapat mengikuti rakan-rakan sejawatnya dalam kelompok orang bergaji di Jepun dan berkata: “Saya telah berjaya mengikuti pengajian di sebuah universiti terkemuka.

“Ia sebenarnya adalah harapan ibu bapa saya dan saya cuba untuk menyesuaikan diri.” Pendedahan itu diatur dalam satu wawancara yang jarang dilakukan sebuah organisasi bukan keuntungan, dalam bantu individu kera sumbang.

Mereka tersisih daripada kelompok masyarakat dan keluarga mereka. Golongan tersebut membentuk sebuah corak kehidupan yang terus berlangsung selama tiga dekad akan datang sehingga menjadi seumpama budaya unik Jepun.

“Saya menyedari bahawa saya terpaksa akur pada setiap masa apabila saya mendapatkan tawaran kerja tersebut. Saya merasa putus asa. Saya tidak dapat memakai sut. Saya merasa hati saya telah hancur,” tambah Ikeida.


Berada di bawah tekanan melampau, dia mengambil keputusan untuk sisih dirinya di dalam bilik, hindari daripada semua bentuk hubungan manusia. Apa yang dorong mereka ini untuk mengasingkan diri mereka adalah belum jelas.

Namun apa yang banyak dipaparkan dalam kaji selidik itu berkata mereka berhenti interaksi dengan masyarakat selepas melalui masalah dalam hubungan di tempat kerja atau sekolah, atau gagal dalam buru peluang pekerjaan.

“Sesetengah daripada mereka yang menderita penyakit skizofrenia ini menjadi hikikomori. Namun ia sukar untuk diketahui kerana mereka ini jarang berjumpa dengan doktor pakar,” kata Kayo Ikeda, seorang psikologi klinikal.

Beliau yang juga ketua organisasi bukan keuntungan tersebut tampil dengan menawarkan perkhidmatan nasihat secara percuma kepada golongan ibu bapa berusia bersama-sama dengan anak-anak hikikomori mereka itu.

“Apa yang kita tahu bahawa mereka dilukai. Mereka telah dibuli atau alami masalah interpersonal di tempat kerja,” katanya. Ikeida menerangkan dalam blognya bagaimana ibu akan pukulnya jika tidak belajar bersungguh-sungguh.

Amalan tersebut telah membawa kepada tekanan psikologi. Statistik juga mendapati bahawa mereka menghadapi kesukaran untuk bersatu kembali kepada masyarakat setelah memalingkan diri sejak begitu lama.

Dalam kaji selidik 2016, lebih daripada satu pertiga hikikomori berkata bahawa mereka menjauhkan diri daripada masyarakat selama lebih tujuh tahun, meningkat 16.9 peratus daripada kaji selidik sebelumnya pada tahun 2009.

Apabila hikikomori meningkat usia dan menjauhkan diri dalam jangka masa agak lama, ini telah memberi tekanan besar kepada ibu bapa yang sudah berusia lanjut, sama ada dari segi kewangan mahupun aspek emosi.

“Mungkin ia suatu pemandangan biasa di luar negara apabila anak meningkat usia, mereka meninggalkan rumah ibu bapa. Namun di Jepun, ibu bapa tetap membiarkan anak untuk tinggal bersama mereka,” kata Ikeda lagi.

Rika Ueda, yang bekerja dalam organisasi bukan keuntungan dan banyak membantu ibu bapa yang mempunyai anak hikikomori, berkata stigma sosial boleh sahaja memburukkan lagi keadaan gejala psikologi tersebut.

“Keluarga yang ada anak hikikomori berasa sangat malu terhadap diri mereka… Mereka menyembunyikan situasi mereka daripada pandangan komuniti dan menjadi tersisih” tanpa mendapat bantuan, katanya kepada AFP.

“Saya berpendapat keadaan sedemikian akan menyumbang kepada masalah kes yang berpanjangan,” kata Ueda. Apabila menyedari masalah ini semakin meningkat, Kementerian Kesihatan telah memohon bajet tambahan.

Ia berjumlah 2.53 bilion yen (RM93.12 juta) untuk membantu penghidap hikikomori dari tahun fiskal yang akan datang mulai April ini. Kerajaan juga menyasarkan untuk bantu mereka cari pekerjaan yang sesuai dengan keadaan.

Ikeida misalnya masih lagi dapat meneruskan kehidupannya ini melalui skim jaminan faedah sosial anjuran kerajaan Jepun dan menyara sedikit kewangan dengan menulis artikel dalam talian melalui biliknya.

Dia bagaimanapun sangat berharap untuk pulih dan telah meminta ibu bapanya beberapa kali untuk menemaninya ke sebuah pusat psikiatri bagi menerima khidmat nasihat serta rawatan tetapi mereka pul berkeras enggan berubah.

“Saya mahu masyarakat menyedari bahawa kami ini bukan orang gila,” kata Ikeida. Dia juga bimbang tentang mati bersendirian, salah satu kebimbangan lain yang dihadapi oleh rakyat negara maju itu yang meningkat usia di Jepun.

“Saya pernah fikir jika kematian bersendirian. Saya tidak mahu mati seperti itu. Saya tidak mahu badan saya ditemui busuk. Jadi, mungkin saya boleh mendapatkan bantuan lawatan yang kerap daripada pegawai kebajikan.

“Namun saya juga tidak memahukannya. Ia seperti sebuah perasaan yang saling bercanggah,” tambahnya

Sumber – AFP

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com