Majlis Sambutan Hari Pekerja Tetap Diadakan 1 Mei


KUALA LUMPUR - Majlis sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2018 akan diadakan pada pagi 1 Mei ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), ibu negara.

Jurucakap Kementerian Sumber Manusia (KSM) berkata, majlis berkenaan akan diadakan di Dewan Merdeka, PWTC dan turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Dianggarkan, lebih 5,000 akan menghadiri majlis sambutan berkenaan dan Perdana Menteri akan hadir menyampaikan amanat sempena sambutan berkenaan," katanya ketika dihubungi, Khamis.

KSM sebelum ini mengumumkan sambutan ditangguhkan ke satu tarikh lain bagi memberi laluan kepada pilihan raya.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda berkata, memang wajar sambutan diteruskan pada 1 Mei depan dan CUEPACS amat mengalu-alukannya.

"Sambutan itu turut disambut seluruh dunia pada tarikh sama.

"Ia bukan sekadar sambutan biasa, tetapi pengiktirafan kepada pekerja yang menyumbang kepada pembangunan dan ekonomi negara dalam pelbagai sektor," katanya kepada NSTP.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com