Mai Daftar Nikah 2018, Pejabat Agama Kedah Dihujani Panggilan Telefon


ALOR SETAR - Pejabat agama negeri Kedah menerima banyak panggilan telefon berhubung Program Pemutihan Nikah Rentas Sempadan: Mai Daftar Nikah 2018 yang sudah bermula pada Ahad.

Menurut Penyelaras program tersebut, Mohd Nor Azim Abd Razak, panggilan yang diterima kebanyakkannya cuba mendapatkan kepastian mengenai prosedur program berkenaan.

"Ramai yang bertanya mengenai apa yang perlu dibuat untuk membolehkan permohonan mereka diterima malah ada yang bertanya mengenai proses pendaftaran anak masing-masing.

"Sebelum ini, ramai menghubungi pihak jabatan agama tetapi semalam, jumlah panggilan lebih kerap dan ada yang datang sendiri ke pejabat agama untuk mendapatkan penjelasan dan mahukan kepastian sama ada menyamai dengan laporan di akhbar.

"Rata-rata yang bertanya mengenai proses perjalanan yang dikatakan singkat (kurang 100 hari) dan murah (RM300). Apa yang kami boleh pastikan, mereka yang mendaftar dengan program ini mendapat laluan cepat dan murah untuk proses pendaftaran pernikahan mereka," katanya memetik BH Online.

Minggu lalu, NSTP melaporkan kerajaan negeri Kedah memutuskan denda bagi Program Pemutihan Nikah Rentas Sempadan: Mai Daftar Nikah 2018 adalah RM300 sekali gus membolehkan prosesnya berjalan lancar dan tidak membebankan, bermula 1 April.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan serta Kerja Raya negeri, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid, berkata mesyuarat kerajaan negeri sebulat suara meluluskan penganjuran program tersebut yang menekankan usaha melindungi hak isteri dan anak supaya masa depan keluarga dan pendidikan mereka tidak terjejas.

"Program ini bukan menggalakkan orang ramai berkahwin atau berpoligami di sempadan, tetapi mahu pastikan mereka yang sudah lama berkahwin tetapi gagal mendaftar, dapat mendaftar secara mudah.

"Kegagalan mendaftarkan perkahwinan dengan pejabat agama di sini boleh menyebabkan anak mereka menghadapi masalah dari sudut pendidikan, nafkah, isu kesihatan dan kewarganegaraan," ujarnya.

Terdahulu, NSTP melaporkan lebih 10,000 isteri dan 30,000 anak Kedah menarik nafas lega apabila mereka berpeluang mendapat pengiktirafan hak masing-masing memalui Program Pemutihan Nikah Rentas Sempadan: Mai Daftar Nikah yang dianjurkan selama enam bulan bermula bulan ini.

Mohd Nor Azim berkata, Kedah menjadi negeri ketiga membantu pasangan Islam dan mereka yang mempunyai anak untuk mendapatkan hak selepas Pahang dan Selangor.

"Usaha ini diyakini mampu menyelesaikan masalah Anak Tidak Sah Taraf yang pada asasnya berlaku apabila ibu bapa mereka yang bernikah di luar negara tetapi gagal mendaftarkan perkahwinan mereka di negara ini," jelasnya.

Bagi orang ramai yang yang ingin mendapatkan maklumat, bolehlah menghubungi Mohd Nor Azim di talian 019-5259486. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com