Mahu Halang Rumah Jiran Terbakar, Warga Emas Dari Yan Maut Terkena Renjatan Elektrik


ALOR SETAR - Niat suci seorang warga emas yang cuba menghalang kebakaran di rumahnya dari merebak ke kediaman jiran berakhir dengan tragedi apabila dia maut akibat terkena renjatan elektrik.

Difahamkan, kejadian yang berlaku kira-kira jam 10 pagi di Kampung Singkir Darat, Yan disini, mangsa, Ghazali Din, 62, maut di tempat kejadian sewaktu cuba menarik kabel elektrik di luar rumahnya bagi mengelak api daripada merebak ke rumah jiran.

Saksi kejadian, jiran mangsa, Fadzil bin Abdul Hamid, 52, berkata ketika kejadian, Ghazali bersama isteri serta tiga orang anak perempuannya sudah keluar dari rumah mereka bagi menyelamatkan diri.


Dia yang juga sepupu kepada Ghazali, berkata jiran semua keluar dari rumah masing-masing selepas mendapati dapur rumah mangsa terbakar.

"Saya berada di kedai makan di seberang jalan apabila nampak rumah sepupu itu terbakar dan segera pulang memeriksa.

"Saya dapati semua ahli keluarga sudah keluar dari rumah mereka.

"Ketika itu, mangsa sibuk mengeluarkan beberapa barang serta dokumen penting miliknya dan ahli keluarganya sebelum dia mencapai paip air untuk mengawal api yang sedang merebak, sementara menanti bantuan daripada pihak bomba.

"Ghazali kemudian menyuruh saya membuka pili paip air berdekatan, sementara dia memegang getah paip terbabit.

"Sebaik sahaja pili air dibuka saya terdengar suara jeritan ahli keluarga mangsa melarang dia daripada melakukan sesuatu.

"Saya bergegas ke arah mangsa untuk melihatnya dan mendapati dia sudah terbaring tidak sedarkan diri akibat terkena renjatan elektik, dengan kabel elektrik yang terbelit di bahagian bahunya.

"Melihat keadaan itu, saya melarang ahli keluarganya yang lain untuk menghampiri mangsa kerana bimbang mereka juga akan terkena renjatan elektrik dan hanya mampu menunggu bantuan daripada pihak berkuasa," katanya memetik BH Online.

Sementara itu, menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan, Penolong Penguasa Bomba Fauzi Shuaib, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 10.27 pagi.

Jelas beliau, mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik dari kabel di luar rumah. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com