Mahfuz 'Tak Gentar' Lawan Radhi Mat Din Di Pokok Sena?


ALOR SETAR -Kehadiran bekas legenda bola sepak Kedah, Radhi Md Din dalam kancah politik setelah diumumkan bertanding di Parlimen Pokok Sena sebagai calon Pas pastinya akan memberi tentangan hebat kepada penyandangnya Datuk Mahfuz Omar 

Bagi Mahfuz yang kini telah meninggalkan PAS dan berhijrah ke Parti Amanah Negara (PAN), beliau dilihat 'tidak gentar' dan mengalu-alukan kedatangan Radhi untuk bertanding di parlimen agar menghangatkan lagi politik demokrasi yang diamalkan di negara kita selama ini.

Baginya, sesiapa sahaja dijemput bertanding pada pilihan raya kali ini sekiranya mereka layak bertanding serta mendapat sokongan bagi tujuan memajukan pembangunan di parlimen itu.

“Saya menerima  pertandingan itu dengan berlapang dada dan sedia menerima keputusan nanti dengan baik. Setiap calon yang diketengahkan pada pilihan raya nanti sudah pasti mempunyai keistimewaan masing-masing.

“Biarlah pengundi yang menentukannya jika ramai calon akan bertanding nanti kerana sudah pasti mereka akan menilainya. Kini sudah sampai masanya pengundi akan menentukan calon mereka yang akan berkhidmat selama lima tahun.

“Pengundi perlu memilih calon yang benar-benar mampu membawa suara mereka di parlimen nanti bagi memperjuangkan nasib  seperti yang pernah saya lakukan selama ini,” katanya memetik Sinar.

Mahfuz yang berpengalaman menjadi Ahli Parlimen Pokok Sena selama tiga penggal berharap semua calon yang bertanding pada pilihan raya nanti dapat mengamalkan semangat berlawan dan berkawan.

Sikap lebih profesional semasa berkempen perlu diterapkan dan diamalkan, bukannya mengamalkan konsep seteru dan bermusuh.

“Saya berharap pada masa berkempen nanti tidak akan berlakunya permusuhan politik sehingga sanggup memutuskan persahabatan. Setiap pengundi atau calon perlu menghormati perjuangan masing-masing dan bukannya mengambil kesempatan pada pilihan raya ini untuk bermusuh.

“Bagi saya, sama ada Radhi atau sesiapa sekali pun yang bertanding , masing-masing mempunyai penyokongnya sendiri.  Bagaimanapun, saya difahamkan ramai penyokong Pas akan mengundi Harapan walaupun mereka berada bawah bumbung Pas kerana takut untuk berhijrah,” katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com