Mahdzir Khalid… Dari Cikgu Ke Menteri Pendidikan


DATUK Seri Mahdzir Khalid adalah bekas Menteri Besar Kedah ke-8. Beliau dilantik sebagai Menteri Pendidikan menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Berkelulusan ljazah B.A (Hons) dari Universiti Sains Malaysia (USM), bakat kepimpinan beliau mula terserlah apabila terpilih sebagai Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM (1981‑1982).

Setelah menamatkan pengajian, beliau bertugas sebagai seorang guru sehinggalah dilantik sebagai Pengetua SMK Gadong, Beaufort, Sabah.

Beliau juga pernah bertugas sebagai Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Ikuti temubual wartawan theRakyat.com, SYAHRIL A. KADIR dengan Mahdzir baru-baru ini.


SOALAN: Sejauh mana pengalaman Datuk Seri sebagai guru dulu membantu kerja-kerja Datuk Seri sebagai Menteri Pendidikan?

DSMK: Pengalaman sebagai guru dan guru besar itu membantu sedikit sajalah tugas saya sebagai Menteri Pendidikan. Ini kerana zaman dah berubah.

Dalam perjalanan saya sampai ke kedudukan sekarang ni, saya pernah menjadi Pegawai Khas kepada Menteri Besar, saya pernah jadi Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, saya pernah jadi Menteri Besar, Timbalan Menteri dan sampailah sekarang.

Saya melalui proses hampir 30 tahun sebelum menjadi Menteri.

Walaupun sekejap saja saya menjadi guru dan guru besar, sekurang-kurangnya ia memberi saya pemahaman dan gambaran mengenai apa yang perlu saya buat sebagai Menteri Pendidikan.

SOALAN: Apa yang Datuk Seri beri penekanan bila berada di kerusi ini?

DSMK: Sebagai orang nombor satu di kementerian ini, saya ada TIGA benda besar saya nak kena fikir.

Pertama sekali guru itu sendiri. Guru juga manusia, bukannya robot. Kebajikan mereka kita kena tengok.

Keduanya, anak-anak di sekolah ini , macam mana kita nak bangunkan mereka daripada pra-sekolah sampailah dia Tingkatan Lima. Lepas tu mereka nak pergi mana? Tingkatan 6 ke, matrikulasi ke.

Yang kita nak lahirkan adalah warganegara Malaysia yang baik, mental dan fizikal yang baik, sahsiah yang baik dan mempunyai personaliti yang baik.

Yang ketiga, kita juga nak tengok kemudahan di sekolah-sekolah. Dalam istilah pendidikan dia panggil tempat yang kondusif untuk belajar. Penyelenggaraan sekolah, keselesaan kelas dan bilik guru dan sebagainya.

Itu baru tiga benda saja, kalau kita nak pergi lebih jauh, barulah kita sentuh pasal kurikulum dan sebagainya.

Semua ibu bapa nak anak mereka jadi baik, nak jadi pandai, berdisiplin, boleh berkomunikasi dengan baik, boleh bersukan dan sebagainya.

Mereka bukan hanya nak anak mereka bagus dari segi akademik, mereka nak semua, holisitik.

Sebagai Menteri, dengan pepimpinan tertinggi pengurusan, inilah yang kita hendak bina.

SOALAN: Setiap kali bertukar Menteri Pendidikan, dasar selalu bertukar dan ini ‘memeningkan kepala’ ibu bapa, Datuk Seri pula bagaimana?

DSMK: Selagi saya jadi Menteri Pendidikan, saya tak akan tukar dasar. Saya akan kekal dasar yang sedia ada cuma kita tambah nilai sahaja.

Contohnya kita tambah nilai dalam bidang kurikulum seperti sekarang ini semua orang bercakap tentang Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

Jadi kita berusaha untuk membawa masuk elemen tersebut, tetapi nak bawa masuk secara mengejut tak boleh.

Sebab itu kita sebut kita tak tukar dasar kita,

Cuma kita buat sedikit penambahbaikan di sana sini.


SOALAN: KBAT dianggap satu pendekatan yang bukan mudah terutama untuk pelajar di luar bandar dan pendalaman, apa pendapat Datuk Seri?

DSMK: Bercakap mengeni KBAT, apapun kemahiran guru mesti ditingkatkan terlebih dahulu.

Di Institut Pendidikan Guru (IPGM), kualiti pensyarah ditingkatkan termasuk cara nak mengajar untuk memasukkan elemen KBAT ini.

Cikgu-cikgu yang sedang mengajar pula kita ambil balik untuk menghadiri kursus berkenaan.

Persoalan sama ada pelajar di luar bandar boleh menguasai KBAT atau tidak tak timbul.

Jika dulu masa kita belajar tumpuan hanyalah pada guru di depan. Kini sistem tu dah tak sesuai pada zaman sekarang.

Sekarang ini kita kena letak lima orang pelajar, buat sesi meja bulat, duduk dalam bentuk kumpulan dan mereka kena berdiskusi.

Kena ada ‘presentation’.

Setiap orang kena ‘present’ maknanya setiap orang itu ada peluang untuk bercakap kepada kawan, untuk bercakap dalam kumpulan.

Cikgu akan membimbing pelajar-pelajar ini. Itu satu cara yang akhirnya nanti pelajar-pelajar ini boleh berkomunikasi dan boleh menjawab satu-satu isu serta masalah yang diberikan oleh guru mereka.

SOALAN: Datuk Seri cukup rajin turun ke padang, kenapa ambil pendekatan sebegitu?

DSMK: Saya boleh ambil pendekatan duduk di pejabat sahaja, tetapi kelak saya tak boleh melihat apa benda yang berlaku di bawah.

Kalau minggu ni saya pergi sekolah kebangsaan di Kapit contohnya, minggu depan mungkin saya pergi ke sekolah Cina, sekolah Tamil, sekolah agama, sekolah yang dah beratus tahun usianya, sekolah yang baru dan lain-lain lagi.

Jadi saya boleh dapat tengok semua.

Minggu lepas saya di Hulu Terengganu, saya dapat bersama dengan anak-anak murid Orang Asli. Enam bulan dulu saya dah pergi ke sekolah Orang Asli di tempat lain.

Jadi saya boleh berbual dan dapatkan maklumat yang perlu daripada Tok Batin contohnya.

Kita ada 98 buah sekolah . Kesemua 100 peratus pelajarnya Orang Asli. Semalam saya dapat senarai nama 37 Orang Asli yang jadi cikgu dari IPGM tahun 2017. Mana nak ‘posting’ mereka ini.

Jadi bila kita dah tengok sendiri, dapat maklumat sebegini, kita boleh buat keputusan.

Penat memang penat tetapi saya ‘enjoy’. Cuma kesian sikitlah kat pegawai, mereka lagi penat dari saya (tersenyum).


SOALAN: Datuk Seri juga aktif dalam media sosial, kenapa?

DSMK: Sekarang ini kita tak boleh lari dari media sosial sebab berkomunikasi cara maya ni dah jadi fenomena.

Adakalanya kita tak perlu meeting pun tapi kita boleh guna Whatsapp sebagai contoh. Kalau nak buat laporan, boleh buat dalam Facebook, Instagram.

Dengan Ketua Pengarah pun tengah-tengah malam kita masih berkomunikasi.

Saya hantar gambar kat dia, dia hantar gambar kat saya.

Esok kita nak mesyuarat malam ni kita dah boleh buat persediaan.

SOALAN: Apakah kesulitan yang Datuk Seri hadapi  di kementerian setakat ini?

DSMK: Duduk di kementerian Pendidikan ini kena tahan lasak sebab banyak isu.

Kita berhadapan dengan masyarakat yang hendak jawapan yang cepat dan pantas.

Masyarakat hari ni mahukan kualiti .

Kita ada lima juta warga yang sedang belajar di sekolah kerajaan sama ada di tadika, sekolah rendah hinggalah ke sekolah menengah.

Kita ada 450,000 orang guru.Saya tidur pun pukul 2 pagi.

Semua benda kita perlu selesaikan.

SOALAN: Datuk Seri pernah meminta agar keputusan UPSR tidak diraikan secara besar-besaran di sekolah, kenapa?

DSMK: Sebenarnya umur 12 tahun apa yang dikejar? Apa yang kita megahkan?

Dulu ya, masa sekolah kita berorientasikan peperiksaan, ibu bapa akan buat apa saja cara bagi anak mereka dapat 5A tetapi sekarang bagi saya cukuplah kalau dia pandai, pelajar ini boleh pergi ke sekolah berprestasi tinggi, asrama penuh dan sebagainya.

Di negara membangun, negara maju, umur 12 tahun ni sebenarnya tak ada peperiksaan.

Kita ni yang terlebih-lebih.

Pun begitu ini bukan bermakna kita nak hapuskan atau tarik terus UPSR, saya kata kita buat dulu pentafsiran berasaskan sekolah.

Kita nilai sahsiah diri pelajar , ko-korikulum, sukan, psikometrik, kita nilai siap-siap.

Jadi bila pelajar tu habis Darjah 6, dia boleh bawa balik satu fail.

Fail tu dia boleh bawa ke sekolah menengah.

Katalah suatu hari nanti UPSR ini ditiadakan, pentafsiran berasaskan sekolah inilah yang akan jadi rekod sebelum dia ke tingkatan satu. - theRakyat.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com