Mahathir Takut Nak Balik Bertanding Di Langkawi?


ALOR SETAR - Sebut sahaja tentang Langkawi pasti semua akan berfikir kawasan itu adalah 'kubu kuat' bagi Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad dan memperjudikannya akan bertanding di situ.

Tetapi mengejutkan apabila sumber dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengesahkan hingga kini belum ada keputusan rasmi sama ada beliau akan bertanding di Langkawi.

“Ya, sememangnya Langkawi adalah kerusi paling ideal untuk Dr Mahathir bertanding, tetapi setakat ini belum ada keputusan rasmi walaupun memang ada perbincangan.

“Mungkin beliau akan mengumumkan dalam masa terdekat. Bagaimanapun, mengikut perancangan asal, senarai calon PPBM untuk semua kerusi Parlimen akan diumumkan di peringkat Pusat,” menurut sumber itu sebagai mengulas laporan Mahathir akan bertanding di Langkawi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Andai kata Mahathir tidak bertanding di kawasan 'selamat' dan paling 'ideal' bagi dirinya itu adakah ini bermakna beliau takut untuk menerima hakikat kemungkinan beliau ditolak oleh rakyat Langkawi disebabkannya kurang beri tumpuan kepada rakyat di situ.

Sekiranya juga beliau 'memberi laluan' kepada calon Pakatan Harapan lain untuk menjadi calon di 'kawasannya' itu adakah ia juga memberi maksud Mahathir kini merelakan dirinya dikawal dan menjadi tunggangan parti pembangkang lain?

Dalam perkara lain, satu sumber dalaman PPBM menyatakan tidak menolak kemungkinan Mahathir akan membuat pengumuman di Langkawi hujung minggu ini.

“Beliau akan berada di Bukit Tangga dalam Parlimen Kubang Pasu pada Jumaat malam sebelum ke Langkawi keesokannya.

“Mungkin beliau akan memilih untuk membuat pengumuman ketika berada di sana,” katanya.

Sebelum ini, terdapat kenyataan menyebut Mahathir bakal mempertimbangkan kerusi di Kubang Pasu dan Putrajaya.

Sebuah portal berita semalam turut melaporkan Pengerusi PPBM itu sah akan bertanding di Langkawi.

Seperti sedia maklum, kerusi Langkawi kini disandang Datuk Ir Nawawi Ahmad, yang juga Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB).

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Langkawi pada PRU13 berjaya menewaskan calon PKR, Ahmad Abdullah dengan majoriti lebih 11,000 undi pada pilihan raya umum lima tahun lalu. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com