Mahathir Pilih Langkawi Sebab Tak Yakin Jentera Pakatan Pembangkang?


ALOR SETAR – Tindakan Pengerusi Pakatan Pembangkang, Tun Dr. Mahathir Mohamad meninggalkan Parlimen Kubang Pasu untuk bertanding di Langkawi memperlihatkan dirinya seperti tidak yakin akan kemampuan jentera gabungan pembangkang memenangkan beliau di kawasan jajahannya selama 30 tahun itu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Mahathir seperti tahu tidak akan menerima sokongan penuh daripada jentera memandangkan mempunyai rekod 'tidak cemerlang' bersama pemimpin-pemimpin par­ti dalam gabungan itu.

“Parti pembangkang yang ber­ada dalam pakatan bersama beliau (Dr. Mahathir) masih mempunyai syak wasangka contohnya pe­mimpin PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail melihat Tun Mahathir sebagai orang memenjarakan suaminya yang kini duduk semeja bercakap pasal parti.

“Begitu juga dengan Mohamad Sabu, dalam jiwa raganya inilah orang yang memenjarakannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) manakala dia (Dr. Mahathir) dengan Lim Kit Siang pula bergaduh lebih 50 tahun, masing-masing ada syak wasangka,” katanya memetik Utusan.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis Idul Ilmi di Sekolah Menengah Agama (SMA) Maktab Mahmud Padang Terap, Jalan Padang Sanai, di Padang Terap, semalam.

Menurutnya, taktik Mahathir bertanding di Langkawi turut membuktikan kerusi di Kubang Pasu kini tidak lagi menjadi kawasan selamat baginya meskipun menjadi penyandang kerusi Parlimen itu.

“Kubang Pasu atau Langkawi terpulang kepada Dr. Mahathir untuk bertanding di mana sekalipun tetapi di sini kita dapat lihat beliau tidak yakin untuk balik semula ke Kubang Pasu, sebab itu beliau pilih Langkawi,” jelasnya.

Sementara itu, Mahdzir berkata Barisan Nasional (BN) tidak ambil pusing terhadap keputusan Mahathir bertanding di Langkawi menjadi kerana perkara yang lebih penting adalah memastikan kemenangan pada calon UMNO.

“Di mana sekalipun beliau bertanding kita tetap dengan pendirian nak memberi kemenangan buat calon BN dan strategi juga sudah lama dibuat bagi meyakinkan pengundi di semua kawasan kita tandingi.

“Saya yakin bahawa BN di Lang­kawi mampu mempertahankan kerusi yang sememangnya dari dulu milik UMNO dan tidak kira siapa di sebelah sana, kita pastikan kena menang,” ujarnya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com