Mahathir Kini Dijangka Sukar Tembusi Kubu Kuat BN Di Langkawi


MESKIPUN hangat diperkatakan Pakatan Harapan akan mempertaruhkan nasib Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Parlimen Langkawi, namun warga emas itu dijangka tidak mampu menggugat kekuatan Barisan Nasional (BN) di pulau Lagenda itu.

Perkembangan politik terkini di pulau berkenaan menyaksikan ramai yang semakin beralih arah, enggan memberi sokongan kepada sekutu kuat DAP itu dan lebih yakin kepada kemampuan BN yang sejak sekian lama terbukti membangunkan Langkawi.

Meskipun pembangunan di Langkawi dilaksanakan di era Mahathir sebagai Perdana Menteri, namun ramai penduduk tempatan yang yakin bahawa bekas Perdana Menteri itu tidak mungkin dapat berbuat demikian tanpa BN.

Malah ada yang berpandangan bahawa Mahathir sendiri tidak akan mampu mendaki ke kemuncak politik negara seandaikan beliau tidak "dikutip" masuk semula menyertai BN oleh AlmarhumTun Abdul Razak Hussein, bapa kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak.

Antara halangan yang paling sukar didepani Mahathir untuk memenangi kerusi Parlimen Langkawi adalah berdasarkan kepada jumlah majoriti kemenangan yang diperoleh BN pada PRU ke-13 yang lalu adalah terlalu tinggi untuk dicabar beliau.

Pada PRU yang lalu, calon BN, Datuk Ir Nawawi Ahmad berjaya memperoleh sebanyak 21,407 undi, bergaya menewaskan dua lagi pencabarnya, calon PKR, Ahmad Abdullah yang memperoleh sebanyak 9,546 undi dan calon bebas, Marina Hussein yang hilang wang pertaruhan gara-gara hanya mendapat 180 undi sahaja.

BN menang di kerusi Parlimen Langkawi dengan majoriti yang besar sebanyak 11,861 undi, membabitkan jumlah pengundi seramai 37,536 orang pengundi dengan peratusan keluar mengundi sebanyak 84.92 peratus, dan sebanyak 744 undi rosak.

Sementara itu, pepecahan di kalangan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di pulau itu juga dilihat memberi pengaruh besar kepada Pakatan Pembangkang, termasuk menjejaskan imej mereka di mata golongan atas pagar.

Tambahan pula bekas pengasas PPBM, Anina Saadudin kini mengambil langkah agresif mendedahkan segala rahsia kepincangan dan "agenda sebenar" Mahathir dan anaknya, Dato' Seri Mukhriz Mahathir, segalanya serba tidak kena bagi Pakatan Harapan di pulau itu.

Desas-desus sebelum ini bertiup kencang daripada pulau pelancongan itu menyatakan tentang kekecohan yang berlaku di kalangan ahli PPBM Bahagian itu membabitkan pengurusan kewangan dan peranan Mahathir sebagai Pengerusi yang bersikap "lepas tangan".

Khabar itu mengatakan Mahathir tidak pernah sekalipun mempengerusi mesyuarat PPBM di Bahagian itu sejak ditubuhkan dan hanya pulang untuk mempengerusikannya setelah ramai meluahkan ketidakpuasan hati terhadap sikap tidak ambil peduli beliau itu.

Selain itu, turut diperkatakan tentang kekuatan sebenar PPBM di Langkawi bukanlah sebagaimana yang digembar-gemburkan, bahkan hanya terdapat kurang 1,000 ahli dan ramai yang semakin menjauhkan diri daripada parti itu.

Terdapat juga pihak yang mendakwa mereka kini malu untuk menyokong Mahathir gara-gara beliau kini bersekongkol rapat dengan Lim Kit Siang yang beliau kutuk sepanjang 50 tahun yang lalu, manakala Dato' Seri Anwar Ibrahim yang dijulangnya kini pernah beliau tuduh sebagai peliwat dan pemimpin yang tidak bermoral.

Justeru itu, dijangka cita-cita Mahathir untuk kembali berkuasa sebagai Perdana Menteri pada PRU ke-14 nanti dilihat berkemungkinan tidak menjadi kenyataan ekoran menghadapi halangan yang sukar di Parlimen Langkawi.

Pun begitu, beliau dikatakan mempunyai pilihan lain seperti Parlimen Kubang Pasu yang beliau kuasai dulu atau Parlimen Putrajaya. Namun begitu, Mahathir hingga kini masih tidak berani mendedahkan kerusi Parlimen yang bakal ditandingi beliau. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com