Maahad Tahfiz Kedah Disaran Guna Kemudahan Pusat STEM


ALOR SETAR - Kemudahan Pusat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Techno Centre, Taman Teknologi Tinggi Kulim (Kulim Hi-Tech) di sini disarankan menjadi pilihan utama dan digunakan sepenuhnya Maahad Tahfiz di negeri Kedah bagi mempelbagaikan lagi kaedah pembelajaran dan pengajaran mereka.

Exco Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Norsabrina Mohd Noor berkata, perkara tersebut penting demi membantu memperkembangkan potensi guru dan pelajar dalam bidang sains dan teknologi.  

"Kita mahu, walaupun mereka di sekolah agama, Maahad Tahfiz khususnya, mampu berdaya saing dalam bidang ini," katanya selepas merasmikan Hari Anugerah Kecemerlangan Keempat Maahad Tahfiz Sains Darul Aman di Kulim, kelmarin memetik Sinar Harian.  

Dalam masa sama, beliau menyarankan syarikat swasta yang berteraskan sains dan teknologi saling bekerjasama dengan pusat pengajian seperti Maahad Tahfiz Sains Darul Aman yang merupakan satu-satunya maahad tahfiz sains di negeri ini.

"Kita ada Kulim Hi-Tech dan di situ ada pelbagai jenis industri yang bertaraf global malah terbaik di dunia yang boleh diajak bekerjasama. Sebagai contoh, jika pelajar nak belajar tentang panel solar, kita boleh minta kilang First Solar (di Kulim Hi-Tech) buat program khusus untuk memberi penerangan berkaitan," katanya. - Kedahnew.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com