LPF Tidak Pernah Haram Dukun


KUALA LUMPUR - Lembaga Penapisan Filem (LPF) memberi klasifikasi P13 kepada filem Dukun arahan Dain Said dengan memotong lima aksi berunsur ganas dan khurafat sebelum ditayangkan kepada umum, Khamis.

Pengerusinya, Mohd Zamberi Abdul Aziz berkata, filem Dukun yang sudah diluluskan pada Disember 2006, dirujuk semula ke lembaga penilaian untuk mendapatkan klasifikasi sebelum tarikh tayangan diputuskan.

"LPF memberi klasifikasi terhadap filem Dukun pada 8 Mac lalu dengan kelulusan untuk hebahan trailer menyusul pada 23 Mac.

"Setakat apa yang saya tahu dan berdasarkan rekod, LPF sudah memberikan 'lampu hijau' kepada filem Dukun sejak akhir tahun 2006... Tiada langsung isu pengharaman dalam data kami.

"Filem ini dihantar semula kepada LPF ketika saya dipertanggungjawab mengepalai badan. Selepas panel kami melihat semula, hanya lima aksi dibuang, namun ia tidak menjejaskan jalan ceritanya," katanya kepada BH Online.

Filem yang memperoleh klasifikasi P13 menetapkan individu berumur di bawah 13 tahun perlu mendapat pengawasan dan bimbingan ibu bapa atau penjaga ketika menonton filem berkenaan.

Filem dilabel P13 dikategorikan mengandungi unsur seram, menakutkan, adegan atau aksi negatif, suspen dan mengejutkan tetapi tidak berlebihan; jalan cerita yang sukar difahami serta unsur yang boleh mengganggu emosi kanak-kanak.

Sejak beberapa hari lalu, peminat filem tempatan hangat memperkatakan mengenai filem Dukun yang akan mula ditayangkan, lusa, selepas 12 tahun terperap.

Filem kontroversi yang siap dibikin pada 2006, dibintangi barisan pelakon hebat antaranya Datin Paduka Umie Aida, Adlin Aman Ramlie, Namron dan Bront Palarae.

Selepas tersebarnya berita Dukun bakal ditayangkan, ada pihak mendakwa filem terbabit yang dikatakan mendapat inspirasi daripada kes jenayah berprofil tinggi, pernah diharamkan.

Ditanya mengenai desakan segelintir pihak yang menganggap Dukun tidak sesuai ditayangkan, Mohd Zamberi berkata, secara peribadi, beliau menganggap filem seram pasti ada elemen mendebarkan.

"Andai ada pihak menyatakan filem ini tidak sesuai untuk tontonan, secara peribadi, bagi saya filem seram tentunya ada elemen mendebarkan, menakutkan dan suspen... Terpulang kepada yang mengikutinya," katanya.

Sementara itu, netizen terus memberi reaksi positif terhadap tayangan filem Dukun selepas penerbit, Astro Shaw mengumumkan karya terbabit bakal ditayangkan di pawagam di seluruh negara, lusa.

Dukun mengisahkan seorang ahli politik, Datuk Jefri lakonan Adlin Aman Ramlie, meminta khidmat Diana (Umie) menjadikan dirinya kebal selain meningkatkan kerjaya politiknya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com