Lorong Tikus, Gajah Untuk Jenayah Rentas Sempadan


KUALA LUMPUR – Agensi keselamatan negara telah mengenal pasti kawasan titik panas, ‘lorong tikus’ dan ‘lorong gajah’ di sempadan yang sering digunakan untuk kegiatan jenayah rentas sempadan, persidangan Dewan Negara diberitahu pada Khamis.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata titik panas dan lorong-lorong berkenaan digunakan untuk kegiatan penyeludupan barang kawalan dan rokok serta laluan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Shahidan berkata anggaran keluasan garisan pantai barat Semenanjung Malaysia adalah 971.5km dan pantai timur Semenanjung adalah 839.7km, manakala keluasan garisan pantai Sarawak adalah 1,765.8km dan pantai Sabah adalah 2,344.6km.

“Di sempadan laut juga mempunyai lorong-lorong tikus terutamanya di kawasan pokok bakau yang berhampiran dengan negara jiran, namun lorong-lorong ini dikawal bukan sahaja dari laut tetapi juga di darat.

“Panjang sempadan Malaysia-Thailand pula adalah 556km yang meliputi kawasan penempatan dan juga hutan yang sememangnya terdapat lorong tikus dan lorong gajah yang tidak dapat dikenal pasti jumlahnya.

“Namun begitu, operasi pihak tentera dan polis sememangnya berada di sepanjang sempadan, walaupun terdapat lorong-lorong tikus, kemasukan pendatang asing dan barang-barang secara haram masih dapat dikawal,” katanya menjawab soalan Senator Datuk Abidullah Salleh mengenai jenayah rentas sempadan yang berlaku di Malaysia.

Shahidan berkata melalui risikan yang dijalankan, antara kawasan titik panas yang telah dikenal pasti ialah di sekitar Batu Pahat, Pontian, Pengerang dan Muar di Johor, Kuala Langat, Sungai Kesang, Pulau Carey, Banting dan Tanjung Sepat di Selangor serta Port Dickson di Negeri Sembilan.

“Lokasi tersebut merupakan lokasi tumpuan bagi pelbagai aktiviti jenayah seperti penyeludupan rokok dan barang kawalan serta merupakan kawasan keluar masuk secara haram PATI ke Malaysia melalui jalan laut. Majoriti PATI yang menggunakan laluan ini terdiri daripada warganegara Indonesia dan Bangladesh.

“Antara sebab utama lokasi tersebut menjadi pilihan ialah faktor geografi dan berdekatan dengan Indonesia iaitu kawasan Tanjung Balai, Batam, Dumai dan Pulau Rapat,” katanya.

Jelas beliau, jumlah tangkapan PATI bagi tempoh lima tahun adalah sebanyak 2,995 orang, manakala kes tangkapan berkaitan penyeludupan pula sebanyak 243 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM41,314,768.80.

Shahidan berkata bagi mengekang kegiatan jenayah rentas sempadan, agensi keselamatan terlibat sentiasa mempertingkatkan rondaan dan pemantauan di laut menggunakan bot, kapal dan pesawat udara dengan melakukan rondaan dan pemeriksaan khususnya di kawasan titik panas.

Selain itu, pemantauan melalui maklumat yang diperoleh melalui radar Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) yang boleh mengesan pergerakan objek mencurigakan di laut turut dilaksanakan selain mengetengahkan peranan Sahabat Maritim terdiri daripada komuniti nelayan dan pegawai sukarelawan Maritim Malaysia yang menjadi mata dan telinga menyalurkan maklumat dengan kadar segera kepada APMM.

“Sejajar dengan aspirasi kerajaan yang menyeru agar pelaksanaan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) antara agensi kerajaan perlu dilaksanakan bagi mencapai objektif yang lebih efektif, APMM telah menjalankan beberapa operasi risikan secara agresif dengan agensi penguatkuasaan lain seperti Jabatan Imigresen Malaysia dan pasukan Polis Marin.

“Selain itu, pengukuhan kerjasama hubungan dua hala antara agensi penguatkuasaan negara jiran seperti Badan Keamanan Laut dan Badan Narkotika Nasional Republik Indonesia turut dilaksanakan bagi memastikan pencerobohan rentas sempadan dapat dikekang secara bersama,” katanya. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com