Lompat Kawasan Petanda PH Tidak Yakin


SELAIN lompat parti dan membawa lari kerusi, parti-parti komponen Pakatan Harapan juga menjuarai segmen lompat kawasan bertanding.

Pemenang piala juara-juara ini ialah Lim Kit Siang yang mencatat rekod sebagai pemimpin parti yang berpindah-pindah kawasan.

Tidak ada parti lain yang mengamalkan dasar berpindah-pindah seperti Kit Siang ini, cuma beliau diikuti rapat oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Wan Azizah memenangi hadiah khas wakil rakyat yang terlibat dengan perletakan jawatan dan penggantian kawasan.

Beliau letak jawatan Ahli Parlimen Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding pada 2008.

Kemudian pada 2014, beliau pula masuk bertanding di kawasan yang kosong kerana wakilnya letak jawatan.

ADUN PKR Kajang, Lee Chin Cheh letak jawatan untuk memberi laluan kepada Anwar, pada masa itu mahu menjadi menteri besar Selangor.

Kemudian apabila Anwar dihukum dalam kes liwat, kerusi itu diserahkan kepada Wan Azizah, yang juga mahu diangkat menjadi menteri besar.

Bila bertanding di Kajang, Wan Azizah telah mencatat sejarah menjadi wakil letak jawatan untuk serah kerusi dan mengambil kerusi yang dikosongkan kerana letak jawatan.

Wan Azizah juga akhirnya mengambil semula tempat lamanya di Permatang Pauh selepas suaminya terpaksa mengosongkan kerusi Parlimen itu, tempatnya meletak jawatan dulu.

Juara pindah-randah, Kit Siang ialah satu-satunya pemimpin parti yang tidak ada tempat tetap, tidak seperti pemimpin parti lain yang kekal di satu tempat.

Keluarganya juga berpindah-randah ke merata tempat untuk mendapatkan kerusi selamat dan mendapatkan jawatan.

Lim Guan Eng masuk bertanding di Pulau Pinang dan mengetepikan DAP negeri itu dan akhirnya menjadi ketua menteri.

Di Johor, keluarga Lim dan orang kuat mereka telah menyingkirkan orang besar DAP Johor yang tidak sehaluan dengan mereka.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14, pemimpin-pemimpin pembangkang terus melompat lagi, kecuali Kit Siang yang terpaksa kekal di Johor.

Nurul Izzah Anwar lari ke Permatang Pauh, kawasan yang bukan kerusi selamat kerana telah gagal dan membuat masalah di Lembah Pantai.

Wan Azizah berpindah ke Pandan untuk memberi laluan kepada anaknya bertanding di kawasan yang lebih baik daripada Lembah Pantai yang tidak mahu menyokongnya lagi.

Amalan berpindah-randah ini menunjukkan pemimpin-pemimpin pembangkang tidak ada kubu kuat atau kawasan sendiri, mencerminkan hubungan mereka dengan rakyat. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com