Lokasi Pusat Penamaan Calon Di Kedah Berubah


ALOR SETAR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Kedah telah mengesahkan perubahan lokasi bagi pusat penamaan calon untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di negeri itu.

Menurut Pengarahnya, Zuhri Ismail, pusat penamaan calon bagi PRU-14 kali ini kekal sebanyak 15, namun lokasinya berubah bergantung kepada ketetapan pegawai daerah masing-masing.

Jelas beliau, perubahan lokasi itu akan mengambil kira faktor keselamatan dan kesesakan lalu lintas.

“Pusat penamaan calon kita kekal 15 mengikut kawasan Parlimen, cuma lokasinya ada perubahan kelak bergantung kepada pegawai daerah.

“Mungkin, mereka akan mengadakannya di bangunan baru, mengikut kesesuaian tempat, faktor keselamatan dan kesesakan lalu lintas,” katanya memetik NSTP, semalam.

Tambah Zuhri, pihaknya kini sedang menunggu panggilan untuk mesyuarat khas oleh SPR peringkat pusat bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai perjalanan PRU-14.

Beliau berkata, ia termasuk maklumat mengenai jumlah pengundi dan penjualan borang pencalonan bagi PRU-14.

“Biasanya, selepas mesyuarat khas baru kita dapat maklumat terperinci itu termasuk penjualan borang pencalonan.

“Borang pencalonan dijual di pejabat SPR dan pejabat pegawai pengurus apabila dimaklumkan kelak,” ujarnya.

Katanya, SPR Kedah sudah melaksanakan segala persediaan seperti PRU sebelum ini bagi memastikan proses pilihan raya berjalan lancar.

Pada PRU-13 lalu, jumlah keseluruhan pengundi di Kedah ialah seramai 1,022,136 dengan 76.18 peratus Melayu, Cina (15.52 peratus) dan India (6.79 peratus). - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com