Letak Kepercayaan Tinggi Pada SPR - TPM


BAGAN DATUK - Rakyat harus meletakkan kepercayaan tinggi terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengendalikan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kerana ia terbukti berjaya melaksanakan tanggungjawabnya yang adil dan telus sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata SPR memiliki peraturan yang diguna pakai sekian lama dan terdapat akta membabitkan pilihan raya bagi mencegah sebarang penyalahgunaan kuasa.

Berikutan itu, katanya, sebarang dakwaan atau berita mengaitkan SPR dengan sebarang perbuatan kononnya untuk memberi kemenangan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) harus ditolak dan boleh dikategorikan sebagai berita palsu.

"Jangan fikir SPR adalah sebuah suruhanjaya yang boleh diperkotak-katikkan oleh mereka yang mempertikaikan sistem demokrasi di negara kita

"SPR sudah melakukan yang terbaik mengikut acuan Malaysia dan kita tidak boleh mengikut telunjuk satu atau dua berita palsu yang keluar menuduh itu ini," katanya.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri mengulas mesej yang viral dalam media sosial baru-baru ini termasuk visual kaedah penandaan kertas undi yang dijalankan institusi tidak berkaitan dengan SPR, klip video kononnya kertas undi dibawa keluar petugas dari balai polis tanpa kebenaran dan klip video warga asing menaiki bas disyaki pengundi hantu.

Bercakap pada sidang media selepas merasmikan majlis pecah tanah projek menaik taraf laluan dari FT005-FT069 dari Simpang Empat Hutan Melintang ke pekan Bagan Datuk dan persimpangan bertingkat di daerah Bagan Datuk di sini hari ini, Ahmad Zahid berkata, apabila ada berita palsu mengatakan SPR menggunakan pensil dalam proses semakan daftar pemilih dan proses pengundian, ia harus ditolak.

Malah, katanya, bagi mengelak dakwaan penipuan, SPR bersedia menggunakan dakwat untuk dicelup jari pengundi sedangkan tiada negara maju menggunakan kaedah itu.

Beliau berkata, ketika ini kredibiliti dan kewibawaan SPR menjadi keutamaan dalam menentukan proses pilihan raya dapat dilaksanakan dengan betul dan adil.

"Jika SPR merancang hanya membenarkan kerajaan sedia ada terus berkuasa, BN tak mungkin kehilangan Kelantan selama 28 tahun, kita kehilangan Pulau Pinang dan Selangor serta satu ketika, kita pernah kehilangan buat sementara waktu negeri Perak.

"Bagaimana jika sebuah suruhanjaya yang bebas begini memihak pada seseorang, mustahil negeri itu jatuh ke tangan pembangkang, jadi ketelusan ini harus diterima semua pihak," katanya.

Ahmad Zahid berkata, perkara titik bengik jangan dijadikan isu dan perlu meletakkan kebolehpercayaan di tahap paling tinggi kepada SPR melaksanakan undang-undang sedia ada dan peraturan yang sudah diluluskan Parlimen.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com