Lembu Bakal Jadi Mamalia Terbesar Di Dunia Gara-Gara Kerakusan Manusia?


OSLO - Sejak bertambahnya populasi manusia bermula ribuan tahun dahulu, bilangan spesies haiwan mamalia besar pula menyaksikan trend penurunan yang jelas, lapor Reuters.

Jika rentak itu berterusan, lembu dikhuatiri menjadi mamalia paling besar di planet Bumi dalam beberapa abad lagi, menurut kajian saintifik pada Khamis.

Sejak kewujudan manusia purba hominim – yang ada kaitan dengan kaum Neanderthal – dari Afrika sejak ribuan tahun lalu dilihat berkadar songsang dengan terhapusnya bilangan mamalia seperti gajah mammoth, harimau sabre-toothed dan glyptodon iaitu spesies tenggiling bersaiz kereta masa kini.

“Terdapat perbandingan yang jelas mengenai kepupusan haiwan berdasarkan saiz yang mengiringi aktiviti penghijrahan manusia hominim keluar dari Afrika,” ujar penyelidik dari Universiti New Mexico, Felisa Smith, yang menerbitkan hasil kajiannya dalam jurnal Science.


Dalam laporan yang memantau trend selama 125,000 tahun itu, manusia dilihat menyasarkan spesies haiwan yang besar untuk mendapatkan dagingnya, sementara makhluk yang lebih kecil dari kumpulan seperti rodensia masih selamat.

Di Amerika Utara, sebagai contoh, purata jisim tubuh mamalia darat yang wujud semakin menyusut sejak sejarah ketibaan manusia.

Jika trend itu berterusan, laporan itu memberitahu, mamalia terbesar dunia dalam beberapa ratus tahun lagi adalah lembu iaitu sekitar 900 kilogram.

Ini bermakna bumi sudah tidak lagi menjadi tempat tinggal haiwan-haiwan seperti gajah, zirafah dan badak air. Pada Mac lalu, badak sumbu putih utara jantan terakhir dunia mati di Kenya.

Kajian lain pula menunjukkan kebimbangan penyusutan saiz mamalia disebabkan kekangan usaha pemuliharaan hidupan liar akibat perubahan iklim, kehilamgan habitat hutan dan peluasan kawasan bandar.


Bagaimanapun, ketua saintis dari Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) Thomas Brooks, mempunyai pandangan yang berbeza.

“Saya tidak fikir ia akan berlaku (lembu menjadi mamalia terbesar dunia),” ujarnya kepada Reuters, sambil menambah bahawa kajian menunjukkan mamalia besar seperti gajah kini mempunyai kelebihan untuk membiak di kawasan yang dilindungi.

Senarai Merah bagi spesies terancam, yang dipantau IUCN, turut menyenaraikan beberapa spesies mamalia lain yang bersaiz mirip lembu – seperti kerbau Afrika dan beruang, yang bukan lagi menjadi spesies terancam.

Kajian jurnal Science juga mengecualikan mamalia marin seperti paus biru, iaitu makhluk terbesar pernah wujud di muka bumi. Meskipun disenarai sebagai haiwan terancam dalam Senarai Merah, namun populasinya meningkat selepas undang-undang penangguhan sementara aktiviti pemburuan dipersetujui banyak negara.

Sumber: Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com