Lelaki Parah Ditetak Dengan Parang Sendiri


PETALING JAYA: Seorang lelaki parah selepas ditetak dengan parangnya sendiri dalam satu pergaduhan di gelanggang bola keranjang, Kampung Chempaka, Kelana Jaya, di sini, sekitar jam 9 malam, kelmarin.

Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 24 tahun, dari Kepong, datang ke lokasi berkenaan bersama rakannya untuk bertemu sekumpulan empat lelaki dari Kelana Jaya, berhubung masalah pergaduhan beberapa pelajar di sebuah sekolah menengah dekat sini, sambil membawa parang.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata sebaik tiba di lokasi mangsa bertemu dengan kumpulan berkenaan untuk berbincang bagi menyelesaikan masalah pergaduhan yang berlaku beberapa hari sebelum itu.

"Kita percaya semasa perbincangan berlangsung wujud unsur tidak puas hati sebelum parang yang dibawa mangsa secara tiba-tiba dirampas oleh kumpulan dari Kampng Chempaka sehingga dia diserang empat hingga lima lelaki.

"Akibat serangan itu, mangsa cedera parah pada bahagian lengan tangan kanan dan kiri serta leher dipercayai akibat ditetak dengan parangnya," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Zani berkata, pihaknya yang menerima maklumat dari orang awam terus menggerakkan Operasi Cantas, sebelum berjaya menahan tiga lelaki penduduk Kampung Chempaka berusia 40 hingga 50-an.

"Hasil siasatan susulan mendapati seorang lagi suspek yang turut terbabit dalam kejadian ini menghilangkan diri selepas mengetahui pihak polis sedang mengesannya.

Katanya, pihak polis akan berusaha mendapatkan maklumat dari mangsa yang kini sedang ditempatkan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut, sebaik dia disahkan pulih.

Sumber: BH

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com