Lelaki Mesir Berbasikal 5,000 Kilometer Ke Moscow Tonton Piala Dunia


KAHERAH - Seorang lelaki Mesir sanggup mengayuh basikal ke Moscow, Russia semata-mata untuk menyaksikan Piala Dunia, selepas negara itu layak kali pertama dalam tempoh 28 tahun.

Mohamed Nufal, 24, berharap untuk tiba di Moscow dalam tempoh 65 hari perjalanan membabitkan jarak kira-kira 5,000 kilometer.

Beliau merancang untuk sampai ke Moscow melalui Jordan, Bulgaria, Romania, Moldova dan Ukraine namun akan menaiki pesawat melepasi Syria dan Iraq disebabkan perang.

Pelbagai persiapan dilakukan Nufal termasuk membawa bersama alat ganti tambahan, telefon tambahan, bateri dan perkakasan perkhemahan.

Beliau merancang untuk menginap di hostel, jika ada keperluan atau bergantung kepada simpati orang tidak dikenali untuk menumpang tidur.

"Ia lebih berkisar kepada perjalanan itu sendiri berbanding destinasi. Jika ia hanya semata-mata mengenai Piala Dunia, saya boleh menaiki kapal terbang.

"Ia peluang besar bagi saya melihat pelbagai perkara baharu," kata Naufal kepada Reuters.

Sekumpulan penunggang basikal dan rakan akan mengiringi Nufal ketika memulakan perjalanan semalam dan berharap orang ramai di sepanjang perjalanan akan turut membantu.

Selepas berjaya meraih tempat untuk kejohanan Piala Dunia Oktober lalu, Mesir akan bertanding dalam kejohanan bola sepak terkenal dunia itu buat kali pertama sejak 1990. - Reuters



No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com