Lelaki Maut Dikelar Kerana Kerap Tagih Hutang


LAHAD DATU – Seorang lelaki maut akibat dikelar di leher, dipercayai kerana menagih hutang sebanyak RM300, dalam satu kejadian di Km7 Jalan Tengah Nipah berhampiran Taman Warisan 4, dekat sini tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Hamzah Ahmad berkata kejadian 1.25 tengah hari itu turut menyaksikan adik ipar mangsa berusia 11 tahun cedera diserang oleh suspek.

Kejadian berlaku ketika mangsa, seorang warga tempatan berusia 30 tahun, sedang memandu kereta yang turut dinaiki oleh suspek dan adik ipar mangsa, katanya dalam kenyataan, di sini.

Katanya siasatan awal mendapati mangsa sebelum itu mengambil adik iparnya dari sebuah sekolah sebelum singgah mengambil suspek.

“Dalam perjalanan mengambil suspek, kanak-kanak itu tertidur dan terbangun apabila diserang oleh suspek dari belakang menggunakan senjata pisau (barong),” katanya.

Beliau berkata suspek dipercayai mengelar mangsa di bahagian leher sehingga menyebabkan kereta yang dipandu terbabas ke tepi jalan dan mangsa bertindak keluar dari kereta serta cuba melarikan diri namun dikejar oleh suspek.

Beliau berkata suspek kemudian melarikan diri dan polis sedang giat memburu lelaki tersebut. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com