Lelaki Kurang Siuman Rempuh Balai Polis


SITIAWAN – Polis terpaksa melepaskan dua das tembakan sebelum menahan seorang lelaki yang kurang siuman selepas lelaki itu yang memandu kereta merempuh pintu utama Balai Polis Kampung Koh, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Muhammad Hanif Othman berkata dalam kejadian 1.45 pagi itu, suspek, 28, yang memandu kereta jenis Proton Iswara secara mengundur merempuh pintu cermin balai tersebut menyebabkan kedua-dua pintu rosak dan cermin pecah.

“Semasa kejadian itu, dua anggota berpangkat koperal sedang bertugas di kaunter aduan balai tersebut dan kereta itu kemudiannya cuba melanggar sekali lagi dan seorang daripada anggota telah melepaskan dua das tembakan untuk mempertahankan diri.

“Tindakan pantas telah berjaya menangkap suspek. Tiada kemalangan jiwa yang berlaku ke atas suspek dan anggota tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini semalam.

Katanya hasil siasatan mendapati suspek dipercayai kurang siuman serta di bawah pengaruh dadah dan mempunyai tiga rekod jenayah lampau kes ceroboh, khianat dan dadah.

Muhammad Hanif berkata kejadian itu menyebabkan suspek mengalami luka di bahagian kepala dan muka akibat pelanggaran dan suspek dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan.

“Kejadian tersebut turut menyebabkan cermin kereta yang dinaiki suspek pecah dan terdapat juga kesan tembakan di belakang kenderaan tersebut,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan 186 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.  – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com