Lelaki Jangan Berkeras Dengan Isteri


RUMAHTANGGA merupakan wilayah dan jajahan takluk yang diketuai insan bernama suami. Sekiranya suami tidak ada (disebabkan bercerai, hilang, kematian atau lain-lain), maka rakyat (isteri dan anak) yang bernaung di bawahnya pasti akan merasai kesannya.

Oleh sebab itulah peranan seorang suami amat penting dalam menentukan keselamatan dan menjamin keharmonian dalam rumah tangga yang dibina.

Tetapi apa yang menyedihkan ialah ramai dalam kalangan suami mengabaikan tanggungjawab besar ini. Mereka seolah-olah mengambil kesempatan terhadap kuasa yang ada dalam rumah tangga untuk melakukan perbuatan dengan sesuka hati. Yang menyedihkan, sehingga ada sesetengah suami sanggup melakukan kekerasan terutama terhadap isteri apabila berlaku perselisihan.

Pencerahan

Dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam ada disebutkan bahawa, kebiasaannya kekerasan terhadap isteri yang berlaku dalam rumah tangga dikategorikan dengan empat bentuk, iaitu:

1. Kekerasan fizikal

Ia adalah perbuatan mendera isteri sehingga menyebabkan kesakitan pada tubuh badan. Perbuatan yang dilakukan itu termasuklah seperti memukul, menampar, menumbuk, melukai, meludahi, menarik rambut, menendang, mencucuh dengan rokok, menggunakan senjata dan sebagainya.

Kesemua perbuatan ini biasanya akan meninggalkan kesan seperti lebam pada badan, parut yang kekal, cacat anggota tubuh serta kesakitan yang berpanjangan.

2. Kekerasan emosi

Ia adalah perbuatan yang mengakibatkan ketakutan, hilang kepercayaan pada diri, ketidakmampuan untuk bertindak, ketidaktenteraman jiwa serta perasaan yang berkecamuk. Hal ini berlaku apabila dihamburkan dengan penghinaan, maki hamun dengan bahasa kesat serta kurang elok didengar, merendahkan harga diri, memaksa serta terlalu mengongkong, memberi ancaman dan menakut-nakutkan isteri dengan ugutan.

3. Kekerasan seksual

Ia adalah perbuatan menzalimi isteri melalui hubungan kelamin. Iaitu dengan menafikan serta mengabaikan keinginan isteri untuk bersama serta menjauhkan (mengasingkan) tempat tidur. Termasuk juga dalam kekerasan ini ialah dengan memaksa isteri bersama tanpa kerelaannya atau sewaktu dia dalam tempoh bercuti, mementingkan kepuasan diri sendiri sahaja dan sebagainya.

4. Kekerasan ekonomi

Ia adalah perbuatan mencuri hak isteri. Iaitu dengan cara memaksa isteri mencari pekerjaan atau duit sedangkan suami pula menghabiskannya dengan boros dan tidak bertempat. Suami pula malas dan tidak suka bekerja.

Apa yang dimahukan hanyalah wang perbelanjaan hasil daripada keringat isteri semata-mata. Sedangkan suamilah yang sepatutnya keluar mencari nafkah buat isteri serta anak-anak. Menyediakan makanan, ubat-ubatan, keperluan harian, pendidikan, tempat tinggal, kenderaan dan lain-lain.

Kesimpulan

Jika dilihat kepada faktor yang disebutkan, sudah pasti sesebuah perkahwinan yang dibina tidak akan dinikmati jika suami bersikap sedemikian. Tidak dinafikan bahawa antara faktor yang menyumbang kepada berlakunya kekerasan dalam rumah tangga adalah disebabkan oleh kurangnya ilmu tentang hukum-hakam serta perkara yang berkaitan dengan perkahwinan. Ramai pasangan yang berkahwin, namun tidak bersedia dan kurang memahami peranan dalam menghadapi setiap permasalahan yang timbul.

Sebagai saranan awal, khususnya bagi mereka yang merancang untuk mendirikan rumah tangga, adalah diwajibkan untuk memahami selok-belok hubungan berkeluarga dengan sebaik mungkin. Ia amat penting bagi menjauhkan diri daripada melakukan perbuatan yang tidak sepatutnya ke atas pasangan disebabkan ketidakpuasan hati atas sesuatu perkara. Ingatlah para suami sekalian, kita amat dituntut untuk menjadi suami yang soleh serta contoh terbaik kepada isteri dan anak-anak.

Sumber: Sinar

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com