Lelaki Di Penjara 18 Tahun, Bakar Rakan Wanita Guna Api


KLANG – Gara-gara sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas rakan sekerja dengan menggunakan api tiga tahun lepas, seorang pembantu restoran dijatuhi hukuman penjara selama 18 tahun oleh Mahkamah Sesyen hari ini.

Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid mendapati Muhammad Khairul Anuar Abdullah, 25, bersalah mencederakan wanita berusia 21 tahun itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah pada akhir kes pendakwaan.

Beliau memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu mulai hari ini.

Sebanyak 12 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes itu.

Muhammad Khairul Anuar dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap wanita itu menggunakan api di sebuah kebun kelapa sawit, Kampung Seri Aman, Sungai Besar antara 11.30 malam pada 27 Sept 2015 dan 12.30 pagi 28 Sept 2015.

Dia dituduh mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara hingga 20 tahun atau denda atau sebat.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh dikatakan mengenali mangsa kerana pernah bekerja bersama di sebuah butik di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 2015.

Pada hari kejadian, Muhammad Khairul Anuar berjumpa mangsa di sebuah perhentian bas di Damansara dan memaksa wanita itu masuk ke dalam sebuah kenderaan sebelum memukulnya hingga pengsan.

Lelaki itu kemudian memandu sehingga ke sebuah kebun kelapa sawit di Sungai Besar, Sabak Bernam dan mengheret wanita itu keluar serta mencurah minyak petrol ke badan mangsa lalu membakarnya.

Susulan itu, wanita berkenaan tersedar lalu terjun ke dalam parit berdekatan untuk memadamkan api yang menjilat tubuhnya sebelum mendapatkan bantuan di sebuah kampung kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.

Terdahulu dalam prosiding tersebut, mangsa yang hadir bersama keluarganya dipanggil memberi kenyataan impak kesalahan tertuduh yang dialaminya sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap lelaki itu.

“Saya tak tahu apa salah saya dan kenapa saya kena bakar. Saya tak boleh tidur lena…hampir setahun saya tak boleh kena cahaya matahari malah saya pernah cuba bunuh diri. Saya tak boleh bekerja, tak boleh keluar sebab saya alami cacat kekal.

“Saya alami trauma bau petrol berbulan-bulan. Saya tak boleh terima apa yang dia dah buat pada saya,” kata mangsa sambil menahan sebak di kandang saksi.

Timbalan Pendakwa Raya Selangor, Mahmoodah Ab Latiff kemudian memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara yang lebih berat terhadap tertuduh supaya menjadi pengajaran kepada masyarakat untuk tidak sewenang-wenangnya melakukan perbuatan seumpama itu.

“Disebabkan perbuatan tertuduh itu, mangsa mengalami luka lecur tahap dua… penggunaan api yang mendatangkan kecederaan parah memberi kesan kepada mangsa dan masyarakat.

“Pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara maksimum, sebatan dan kos mahkamah ditanggung tertuduh selain memberi pampasan kepada mangsa,” katanya.

Peguam tertuduh, Shahrul Nizam Azwir, pula memohon mahkamah mengenakan hukuman yang lebih ringan.

Hakim Emelia Kaswati kemudian menangguhkan prosiding kira-kira 20 minit untuk membuat pemeriksaan terhadap tahap kecederaan yang dialami mangsa.

Ketika prosiding disambung, hakim memberitahu penelitiannya mendapati banyak kesan kecederaan parah dialami mangsa termasuk kesan kebakaran di beberapa bahagian badan sehingga leher tidak boleh dipusingkan kerana ketegangan kulit, leher dan muka tidak boleh didongakkan selain lengan kiri tidak boleh diangkat kerana kulit bercantum dengan badan.

“Saya telah teliti kecederaan mangsa dan kamu (tertuduh) pun sudah dengar sendiri keterangan mangsa. Dengan itu, kamu dihukum penjara 18 tahun bermula hari ini,” katanya. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com