Lelaki Dari Pendang Hias Dinding Rumah Hasil Lukisan Tangan


ALOR SETAR - Seorang lelaki sanggup menghabiskan masa, wang dan tenaga untuk menghias dinding rumah hasil dari lukisan tangannya telah menarik perhatian masyarakat.

Kerana minat dengan seni melukis, Nordin, 58, telah memanfaatkan segenap ruang didalam rumahnya di Kampung Paya Sena, Pendang dengan lukisan yang mempunyai maksud tersendiri.

Nordin yang lebih dikenali dengan panggilan Abang Pulau kerana berasal dari Pulau Langkawi berkata minatnya terhadap seni melukis bermula sejak di bangku sekolah dan beliau sentiasa menggunakan kreativiti serta tekun dalam menghasilkan apa jua lukisan 

Katanya, pernah suatu ketika dia melukis di ruang dapur dan kekeringan idea lalu terus tidur.

“Saya terjaga jam 3 pagi dan idea melukis tu mai dan saya terus ke dapur untuk sambung melukis walaupun masa tu jam 3 pagi.

“Melukis ni kena ada jiwa, sebab tu setiap lukisan yang kita hasilkan mempunyai nilai sentimen tertentu kepada pelukis,” katanya memetik Sinar Online.


Jelas Nordin, empat orang anaknya yang berusia 21 hingga 33 tahun sudah pun menetap di luar dan mempunyai kerjaya masing-masing.

“Hanya anak yang nombor dua sahaja tinggal bersama saya dan isteri buat masa ini,” ujarnya.

Menurutnya,  dia mendapat cetusan idea untuk melukis di dinding rumahnya apabila masanya selalu dihabiskan di rumah.

“Saya bukan kaki lepak, kerja pun kerja kampung saja banyak masa kat rumah jadi bila rumah bersih dan cantik jadi lagi semangat nak duduk di rumah.

“Di rumah saya wujudkan banyak ruang iaitu ruang tamu, solat, rehat, lepak, ruang minum petang dan ruang dapur.

“Jadi semua ruang ni saya lukiskan lukisan yang menarik supaya bila kita duduk di kawasan tu kita rasa tenang dan seronok,” katanya.

Rumah Nordin ini turut mempunyai ruang loteng yang dihias cantik di tingkat atas rumah yang memuatkan sebuah bilik dan bilik air.

Kongsi minat bersama isteri

Tambah Nordin, isterinya, Syikin Harun, 54 turut berkongsi minat yang sama dan banyak membantu dia menghias rumah seperti hias pokok bunga, sofa dan susunan perabit dalam rumah.

Antara lukisan yang dihasilkan Nordin banyak berkonsepkan rimba, unggas, air terjun dan ia lebih kepada alam semula jadi.

Apa yang menarik, terdapat dua ruang pelamin yang dibuat khas untuk perkahwinan dua anak mereka.

“Anak yang sulung saya buat pelamin di ruang tamu sampai sekarang tak buka lagi dan anak kedua pelamin dia di ruang tengah.

Menurut Nordin, rumahnya turut menerima tetamu dari luar daerah seperti dari Kuala Lumpur, Perak semata-mata mahu melihat rumahnya.

“Saya banyak masukkan gambar rumah dalam Facebook, jadi bila tengok depa nak mai rumah saya.

“Saya bagi depa masuk secara percuma untuk melihat sendiri hasil lukisan saya dan Alhamdulillah ramai yang teruja,” tambahnya.

Nordin berkata, dia mempunyai perancangan masa depan untuk membuka mini galeri lukisan di rumahnya.

“Sekarang belum cukup modal jadi Insya-ALLAH ke depan nanti saya akan usahakannya,” katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com