Lelaki Amuk Cedera Isteri Anak, Kelar Leher Guna Parang


LABUAN – Seorang lelaki yang mengamuk hingga mencederakan isteri dan anak lelakinya dengan parang di sini petang semalam, meninggal dunia di Labuan Nucleus Hospital malam tadi.

Mangsa yang berusia 53 tahun bertugas di Pusat Koreksional Labuan, dengan pangkat sarjan, tidak sedarkan diri di Wad Kecemasan hospital itu pada 9.10 malam tatkala menerima rawatan.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Labuan, Supt. Mohamad Farid Ahmad berkata lelaki itu yang turut mencederakan dirinya dengan mengelar lehernya, meninggal dunia tiga jam kemudian selepas dimasukkan ke hospital pada 6 petang.

Isterinya, 45 tahun, yang kini dirawat di Hospital Labuan masih lagi trauma dan dalam keadaan kritikal manakala anak lelakinya yang berusia 23 tahun, dibenar pulang ke rumah.

Dipercayai punca mangsa mengamuk kerana mempunyai masalah rumah tangga menyebabkan dia melibas isterinya dengan parang pada bahagian perut, bahu dan kaki manakala anak lelakinya yang bergelut dengan suspek, juga mengalami kecederaan di bahagian tangan.

Dalam insiden selama tiga jam bermula 3 petang semalam, dia mengugut untuk membunuh diri dan turut dilihat bertengkar dengan beberapa individu dipercayai rakan sekerjanya yang cuba menenangkan lelaki itu.

Sekumpulan anggota polis dari Balai Polis Bebuloh dan Balai Polis Daerah Labuan diketuai Ketuanya, Supt Mohamad Farid Ahmad dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah DSP Boniface Bajai yang bergegas ke tempat kejadian cuba menenangkan suspek bagaimanapun dia semakin agresif.

Bagaimanapun, dia akhirnya bersetuju untuk memandu keretanya sendiri ke balai polis untuk menyerah diri pada 6 petang. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com