Legenda Bola Sepak Sebak Terpilih Tunai Umrah


SEPANG - Legenda bola sepak negara, Syed Ahmad Abu Bakar terharu dan sebak apabila turut terpilih untuk berangkat ke Makkah hari ini menerusi Program Umrah Penggiat Seni, yang kini diperluaskan kepada veteran sukan bawah Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb).

Syed Ahmad, 72, ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Makkah bersama dua lagi atlet veteran iaitu Rameli Manap (angkat berat) dan Ramliee Ahmad (silat) serta lapan anggota rombongan lain berkata ini merupakan kali pertama beliau menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

“Selama ini saya hanya menyepikan diri di Perlis. Tiba-tiba bulan lepas saya mendapat panggilan memaklumkan tawaran untuk saya menunaikan ibadah umrah. Saya sangat bersyukur, berterima kasih dan menghargai pihak yang mencalonkan nama saya,” katanya.

Katanya sepanjang berada di Tanah Suci nanti, beliau akan mendoakan kesejahteraan dan kemakmuran negara, kecemerlangan sukan negara khususnya bola sepak selain memohon supaya atlet veteran sepertinya tidak dipinggirkan masyarakat.

Syed Ahmad paling diingati kerana menjaringkan tiga gol tanpa balas dalam perlawanan Malaysia menentang Jepun pada pusingan kelayakan Sukan Olimpik di Korea Selatan, seterusnya melayakkan Malaysia ke Sukan Olimpik di Munich pada 1972.   

Sementara itu, Mohd Azmir Muhammad Yusuf yang lebih dikenali sebagai Amir Ukays, 49, berkata beliau tidak pernah terfikir akan mendapat peluang menunaikan ibadah umrah dan menganggap tawaran yang diterima sebagai rezeki.

Lima lagi penggiat seni yang turut berangkat dalam rombongan tersebut ialah pelakon Hisham Ahmad Tajuddin, Rashidah Jaafar, Zolkifly Abd Ghani, Mashitah Mohd Isa dan pengarah seni Sapri Ibrahim. Kesemua peserta program umrah kali ini dijadualkan berada di Tanah Suci hingga 18 April depan.

Program umrah anjuran bersama Pejabat Penasihat Perdana Menteri, Yayasan Mustika Kasih dan Yayasan Perdana Ummah ini adalah siri kedua selepas siri pertama yang menyaksikan 23 penggiat seni menunaikan umrah Januari lalu.

Pengerusi eksekutif Yayasan Perdana Ummah Datuk Rizal Mansor ketika ditemui berkata, jika berkemampuan, yayasan itu berhasrat untuk meneruskan program umrah ini ke siri yang seterusnya, namun perlu lihat juga kepada keadaan semasa. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com