"Lari" Ke Jitra Gara-Gara Tak Yakin Dipilih Semula Orang Ayer Hitam?


ALOR SETAR - Tidak yakin untuk dipilih sekali lagi oleh rakyat Ayer Hitam diyakini menjadi punca utama kepada Pengerusi Pakatan Harapan Kedah, Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir terpaksa "lari" meninggalkan Dewan Undangan Negeri (Dun) itu.

Mukhriz pada PRU ke-13 yang lalu memenangi kerusi Dun Ayer Hitam dengan menggunakan sepenuhnya jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) dan bersaing satu lawan satu dengan calon PAS, Abdul Ghani Ahmad.

Meskipun turut dibantu sedaya upaya oleh bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga detik terakhir, namun Mukhriz hanya mampu menewaskan Abdul Ghani yang kurang dikenali dengan hanya majoriti 2,446 undi, jumlah biasa berbanding 26,102 undi keseluruhan.

Setelah BN menguasai Kerajaan Negeri dan Mukhriz dilantik sebagai Menteri Besar Kedah, beliau dikatakan selalu "hilang" daripada kawasan dan hanya mengharapkan wakilnya sahaja, sehingga menimbulkan tanda tanya ramai penduduk Ayer Hitam.

Walaupun pada mulanya mereka menerima alasan "sibuk sebagai Menteri Besar", namun lama-kelamaan rasa tidak puas hati tercetus apabila beliau dikatakan sering berulang-alik menaiki jet peribadi atau pesawat kormesil ke ibu negara hampir setiap hujung minggu.

Desas-desus mengatakan bahawa Mukhriz terpaksa berulang-alik begitu selama mana beliau menjadi Menteri Besar ekoran kegagalan memujuk keluarganya untuk menetap bermastautin di negeri Jelapang Padi ini, apatah lagi di Ayer Hitam.

Selain itu, terdapat juga dakwaan segelintir pihak yang mengatakan Mukhriz lebih memilih untuk meluangkan masa bermain badminton bersama pegawai-pegawai kanannya di kediaman rasmi Menteri Besar di Sri Mentaloon, terutama pada hari Rabu.

Justeru itu, ramai yang terasa hati kerana Adun Ayer Hitam itu lebih memilih untuk bermain badminton bersama rakan-rakannya berbanding meluangkan masa mendengar masalah dan rintihan penduduk di kawasan berkenaan.

Sementara itu, difahamkan terdapat banyak rungutan daripada penduduk Ayer Hitam mengenai kemudahan infrastruktur awam, khususnya jalan-jalan raya yang kurang diselanggara dengan baik dan tidak diturap dengan sempurna.

Perbandingan dilakukan oleh penduduk Ayer Hitam dengan jalan-jalan raya di Dun Sungai Limau yang diwakili oleh bekas Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Azizan Razak yang diselenggara dengan baik sehingga hari ini.

Mukhriz ketika dibantu bapanya berkempen sebagai calon Parlimen Jerlun pada PRU ke-12
Justeru itu, pandangan masyarakat Ayer Hitam terhadap prestasi Mukhriz di Dun mereka dilihat seolah-olah menjadi punca utama beliau terpaksa dipindahkan bapanya bagi mengelak anaknya mengalami kekalahan yang memalukan di Dun tersebut.

Tun Dr Mahathir baru-baru ini mengumumkan anaknya itu akan bertanding di Dun Jitra pada PRU ke-14 ini, sekaligus tidak mempertahankan kerusi yang dimenanginya di atas tiket UMNO pada PRU ke-13 yang lalu.

Mukhriz berkemungkinan dilihat mampu menewaskan BN di Dun Jitra ekoran kerusi tersebut disandang oleh rakannya, Dato' Aminuddin Omar, yang terkenal sebagai pemimpin yang sentiasa mendokong Mukhriz di medan politik.

Meskipun begitu, Aminuddin atau juga dikenali sebagai Pak Tam tidak akan memberi laluan mudah kepada Mukhriz sekiranya tercalon sekali lagi mempertahankan kerusi Dun Jitra ekoran perselisihan perjuangan politik yang berbeza.

Mukhriz memilih untuk menjahanamkan UMNO yang lebih 22 tahun memberi peluang kepada bapanya untuk mengemudi negara sebagai Perdana Menteri, namun Pak Tam lebih setia kepada perjuangan parti berbanding kepentingan politik peribadi. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com