Larangan Pasang Bahan Kempen Di Premis TNB


KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengingatkan semua parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) supaya tidak memasang bahan kempen di mana-mana premis dan pepasangan elektrik milik syarikat itu berikutan risiko tinggi.

Ketua Pegawai Korporat TNB Datuk Roslan Ab Rahman dalam satu kenyataan berkata perbuatan tersebut amat berbahaya dan berisiko mengakibatkan renjatan elektrik dan percikan arka (flashover) yang boleh merosakkan harta benda dan mengancam nyawa.

Beliau berkata perbuatan berbahaya itu turut menyalahi peruntukan Seksyen 37, Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) yang boleh mengakibatkan pelaku didakwa dan didenda, sekiranya didapati bersalah.

“Justeru, diminta kerjasama semua pihak supaya tidak memasang sebarang bahan kempen pada atau berhampiran pepasangan elektrik bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyentuh tiang bendera di bawah mana-mana pepasangan elektrik kerana dikhuatiri boleh menarik arus elektrik, sekali gus menyebabkan renjatan bagi mereka yang berada berhampiran.

Roslan berkata, TNB menerusi rondaan rutin akan menurunkan bahan kempen pilihan raya yang berisiko menimbulkan bahaya dan masalah kepada pengguna.

“Orang ramai yang ternampak situasi yang boleh mengancam keselamatan atau menjejaskan bekalan elektrik, diminta menghubungi Facebook TNB Careline atau menghubungi TNB Careline di talian 15454 supaya tindakan sewajarnya dapat diambil segera,” katanya.- Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com