Lampu Jalan Mampu Kurang Nahas & Kecurian


TANAH MERAH – Kemudahan lampu jalan kampung yang dilaksanakan kerajaan pusat menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah banyak memberi kelegaan kepada penduduk Kampung Padang Siam di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Mukim Padang Siam Muhammad Yatim Yusoff berkata kampung berkenaan terletak berhampiran jalan Tanah Merah-Rantau Panjang-Pasir Mas-Kota Bharu yang sibuk dengan kenderaan dan banyak kemalangan jalan raya berlaku pada malam.

“Sebelum ini jalan ini amat gelap, lampu jalan yang ada hanya dipasang oleh individu bagi menerangi kawasan rumah mereka.

Pemasangan lampu jalan terutamanya di tempat strategik di sepanjang jalan kampung ini dapat mengurangkan risiko bahaya kepada pengguna jalan raya,” katanya kepada Bernama di sini.

Muhammad Yatim berkata pemasangan lebih 60 unit lampu sepanjang jalan di kampung itu turut mengelakkan berlakunya kes kecurian dan pecah rumah penduduk.

Seorang penduduk Shafiqrudin Shafie, 35, berkata pencahayaan di kampung itu kini 80 peratus berbeza apabila semakin banyak lampu jalan dipasang berbanding 10 tahun lepas.

“Sebelum ini pencahayaan lampu jalan hanya dipasang oleh individu mahupun pihak sekolah dan di simpang tertentu namun sekarang kemudahan itu disediakan pada jarak antara 100 dan 200 meter.

Pengguna jalan raya tidak lagi berdepan risiko melanggar haiwan peliharaan terbiar dan binatang liar, penjenayah tidak berani lakukan jenayah kerana cubaan mereka akan disedari penduduk kampung,” katanya.

Seorang lagi penduduk Shahidan Shaari, 28, berkata dengan adanya lampu jalan itu ianya turut memberikan keselesaan dan kemudahan kepada golongan tua dan kanak-kanak bagi melakukan aktiviti pada waktu malam seperti ke masjid dan surau.

“Kemudahan infrasruktur itu amat penting kepada rakyat dan diharapkan kemudahan itu akan ditambah dari semasa ke semasa,” katanya.

Sehingga kini 1,500 unit lampu jalan kampung telah dipasang di seluruh jajahan Tanah Merah.

Pada Februari lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan tambahan RM100 juta bagi lampu jalan kampung (LJK) yang bakal memberi manfaat kepada 2.5 juta penduduk kampung di seluruh negara. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com