Lagu Selamat Malam Rohingnya Ke New York


KUALA LUMPUR - Selepas menjadi siulan di Malaysia dan sering dimainkan dalam kapal Flotila Bantuan Kemanusiaan ke Myanmar, lagu berunsur kemanusiaan, Selamat Malam Rohingya bakal berkumandang di Amerika Syarikat.

Walaupun sebelum ini beberapa penyanyi tempatan mencipta nama di negara Uncle Sam itu melalui irama balad atau hip hop, Syed Amran Al Yahya turut mencuri tumpuan pendengar di negara itu dengan lagu kemanusiaan.

Menyifatkan ia satu pengiktirafan, komposer dan busker terkenal itu melahirkan rasa syukur apabila karya bersama penulis lirik, Zainal Rashid Ahmad itu ‘dipinang’ stesen radio dari negara berkenaan untuk memutarkan lagu keramat berkenaan.

Selain lagu berkenaan, sebuah lagi lagu puisi, Isandra Palestina yang menceritakan nasib rakyat Palestin turut bakal berkumandang, sekali gus membuktikan puisi ciptaan anak tempatan mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, secara peribadi beliau memberi persetujuan mengenainya dan menyerahkan kepada pihak pengurusan untuk menjalankan perbincangan susulan.

“Pada mulanya saya menyangka ia hanya gurauan apabila ada individu mendakwa wakil WYNR 102.5 Radio New York menghubungi saya untuk meminta kebenaran memutarkan radio itu di stesen radio mereka.

“Mana tidaknya, dendangan itukan lagu kemanusiaan dan ditujukan khas untuk pelarian Rohingya dan Palestin mana mungkin orang dari negara berkenaan dapat mendengar dan memahaminya,” katanya.

Selepas beberapa kali dihubungi termasuk melalui e-mel selain dokumentasi dan penjelasan yang diberikan, pihak pengurusan penyanyi berkenaan mendapat karya artis terbabit dikesan melaui paparan di laman sosial.

“Pengurusan radio terbabit memaklumkan mereka menyaksikan persembahan saya melalui Instagram dan Facebook dan tertarik dengan lirik serta seni katanya.

“Stesen radio itu memutarkan lagu berentak folks serta country dan mempunyai 100,000 pendengar unik setiap bulan,” katanya.

Menurutnya, perkembangan itu menyuntik semangatnya untuk terus berkarya dan memperjuangkan misi kemanusiaan sekalipun ada pihak menyifatkan lagu berunsur ketuhanan dan kemanusiaan kurang diminati.

Beliau yang memulakan karier seninya sebagai komposer pada sekitar 1990-an, berkata akan terus menjadi penyanyi di jalanan yang memperjuangkan isu kemanusiaan.

Selain kedua-dua lagu berkenaan, Syed Amran turut mencipta lagu kemanusiaan yang ditujukan khas kepada rakyat Syria, Somalia, pesakit kanser selain aktif menjalankan program amal anjuran Pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Memulakan karier seninya sebagai komposer pada sekitar 1990-an, Syed Amran Al-Yahya mengubah hala tujunya menjadi penyanyi jalanan yang giat memperjuangkan isu kemanusiaan.

Lagu Selamat Malam Rohingnya adalah nukilan beliau yang dimuatkan dalam single bersama kumpulan Sahabat. Kini beliau lebih banyak bergerak secara solo.

Syed Amran sebelum ini pernah terbabit dalam pembikinan beberapa lagu membabitkan artis solo dan berkumpulan seperti Sandiwara Cinta Semusim nyanyian kumpulan Iklim, Lestari (Malang), To’ki (Biasan) Samudera, Ibnor Reza, Shidi, Sheima, Fahrenheit, Spring dan Wan.

Pembabitan beliau dalam industri hiburan tidak terhenti di situ kerana beliau juga pernah terbabit dalam industri perfileman di belakang tabir.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com