Kursus Kurang Relevan Di IPT Sedia Diganti


ALOR SETAR - Kursus kurang relevan di peringkat institusi pengajian tinggi di negara ini sedia ditamatkan bagi memenuhi hasrat kerajaan melahirkan lebih ramai pelajar berkemahiran digital Revolusi Industri 4.0 (Industri 4.0).

Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, hal ini bagi memastikan tenaga pengajar dan graduan negara ini bersedia dan tidak ketinggalan menghadapi cabaran Industri 4.0.

"Kita sedia melupuskan kursus sedia ada yang kurang relevan dan menambah kursus Revolusi Industri 4.0 bagi semua bidang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kolej Komuniti Cawangan Jerlun di sini, semalam.

Sebagai permulaan, Kolej Komuniti Cawangan Jerlun menawarkan program sepenuh masa Sijil Teknologi Seni Bina bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dalam majlis itu, MARA Liner Sdn Bhd bersama Kolej Komuniti Bandar Darulaman turut menandatangani nota kerjasama strategik bagi menjayakan program Diploma Teknologi Automatif.

Sebanyak 95 Kolej Komuniti di negara ini telah menawarkan 48 kursus peringkat sijil dan 17 diploma, dengan 10 daripadanya adalah di Kedah.

Jelas Idris mengulas manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dalam teras pendidikan, di mana kerajaan berhasrat memahirkan lima juta pelajar sekolah dengan kemahiran Industri 4.0.

Idris berkata, persediaan lain termasuk melatih kira-kira 600 pensyarah menghadapi cabaran revolusi industri 4.0.

Tambah beliau, kebolehpasaran pelajar Kolej Komuniti di negara ini hampir mencapai 100 peratus, sekali gus membuktikan institusi terbabit berjaya melahirkan tenaga kerja menepati kehendak pasaran.

"Sehingga kini, sebanyak 96.7 peratus daripada keseluruhan kira-kira 150,000 pelajar lepasan kolej komuniti di seluruh negara mendapat pekerjaan.

"Permohonan yang diterima untuk memasuki Kolej Komuniti amat baik sekali kerana hampir semua pelajar lepasan kolej mendapat peluang pekerjaan.

"Semua bidang yang kita tawarkan bukan bersifat sofistikated tetapi ia diperlukan pasaran kerja antaranya automatif, pastri dan kursus menggunting rambut, " katanya. BH Online. -Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com