KRT Berperanan Jadi Agen Perpaduan Dalam Masyarakat


ALOR SETAR - Kawasan Rukun Tetangga (KRT) memainkan peranan penting dalam mewujudkan dan mengekalkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Menurut Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, KRT dilihat memainkan peranan aktif menjaga keamanan di sesebuah kawasan.

Jelasnya, dia mendapati kumpulan tenaga KRT bertindak sebagai wakil kepada jabatan dan kementerian perpaduan dalam usaha menyemarakkan nilai itu.

“Yang penting perpaduan. Saya ucap terima kasih kepada KRT atas usaha mereka dalam memastikan perpaduan dan keamanan dalam negara kita terus terjamin.

“Bukan senang nak bagi aman, kerana memiliki pelbagai kaum yang memiliki perbezaan warna kulit, bangsa, agama dan budaya. Namun, Alhamdulillah, kita hidup dalam negara aman,” katanya memetik Bernama.


Beliau berucap sedemikian dalam Program Kembara MCIO #3M bersempena Sambutan Minggu Perpaduan Negeri Kedah 2018 dan Pelancaran Sejiwa Daerah Kota Setar/Padang Terap/ Pokok Sena di Dataran Kanji, Taman Wira Mergong, pada Sabtu.

Turut hadir sama dalam program tersebut, Presiden MCIO, Datuk Shaiful Nizam Abdullah; Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Perpaduan, Aldrina @ Mimi OP Andu dan Pengarah Perpaduan Kedah, Rohai Zahar Nedi.

Tambah beliau, perpaduan dalam kalangan rakyat perlu ada dan ia amat penting kerana nilai itu mampu membangunkan negeri dan negara.

“Dengan ada perpaduan, kita tidak ada masalah ataupun takut untuk keluar awal pagi, sebagai contohnya jam 3 pagi. Jikalau tempat naik, ada kita berani keluar. Tapi, negara kita aman kerana perpaduan dalam kalangan kaum,” ujarnya.

Oleh itu, dia berharap anggota KRT akan terus bergerak untuk memainkan peranan di semua kawasan memupuk perpaduan. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com