Krisis Gabungan Pembangkang PKR Semakin Parah


KUALA LUMPUR - Krisis dalaman gabungan pembangkang PKR terutama melibatkan pemilihan calon dilihat semakin parah sekali gus bakal membuatkan gabungan tersebut kian tempang menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Setelah drama pergeseran Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dengan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak menemui titik noktah, timbul pula isu ‘pergolakan’ dalam PPBM yang dibubarkan sementara sehingga dikhabarkan beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) tutup akibat tidak puas hati dengan calon yang dipilih.

Mengulas perkara ini, bekas Naib Presiden PPBM, Datuk Hamidah Osman berkata, kekalutan yang berlaku dalam gabungan pembangkang PKR itu dijangka terus berlarutan, malah dikhabarkan semakin banyak bilik gerakan parti-parti dalam gabungan berkenaan akan ditutup menjelang malam ini.

Katanya, gabungan pembangkang PKR lebih banyak menghabiskan masa ‘bercakaran’ sesama sendiri dengan berebut kerusi yang diidamkan berbanding menjalankan gerak kerja memenangi hati pengundi.

“Sebagai contoh, kalau kita lihat di Selangor, isu pemilihan calon menjadi ‘panas’ melibatkan PKR dan PPBM, malah kata sepakat mengenai pemilihan kerusi pun kelam kabut.

“Saya melihat peluang Barisan Nasional (BN) dalam PRU-14 lebih cerah kerana kita dapat lihat strategi BN lebih teratur dan tiada isu besar melibatkan pemilihan calon berbanding gabungan pembangkang PKR,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

‘Peperangan’ dalaman dalam gabungan pembangkang PKR dilihat semakin meruncing apabila masalah pemilihan calon bagi menghadapi PRU-14 masih belum dapat diselesaikan dengan baik terutamanya melibatkan pemilihan calon PKR di Selangor.

Masalah tersebut juga dikatakan tersebar dalam ‘adik bongsu’ gabungan pembangkang PKR iaitu PPBM yang dibubarkan sementara apabila dikatakan masih kecewa dengan isu pembahagian kerusi di Selangor, malah masalah tersebut juga dikhabarkan tidak dapat diselesaikan di beberapa negeri lain termasuk Perak.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com