Krisis Dalaman Bukti PPBM Bermasalah


DI sebalik keghairahan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mahu bertanding 52 kerusi Parlimen di Semenanjung pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), tidak ramai yang tahu parti itu sebenarnya sedang dilanda krisis dalaman.

Krisis berkenaan masih cuba disembunyikan kepemimpinan tertinggi parti itu daripada pengetahuan umum supaya mereka dapat mengharungi PRU-14 dengan tenang tanpa sebarang tekanan.

Namun, dalam kalangan pemimpin tertingginya, termasuk pada peringkat pengerusi perhubungan negeri, mereka tahu kemelut yang sedang melanda pucuk kepemimpinan parti itu bukan satu rahsia lagi.

Krisis itu berpunca disebabkan kuasa politik dan membuat keputusan yang didominasi Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga menenggelamkan pengaruh Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam parti itu.

Apa yang berlaku ini menjadikan hubungan di antara Dr Mahathir, Muhyiddin dan Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dingin.

Walaupun kedua-duanya dilihat mesra, akrab dan watak Muhyiddin juga amat menghormati Dr Mahathir pada majlis rasmi parti, termasuk pada sidang media serta ceramah umum, ia disifatkan sebagai lakonan semata-mata.

Perkara ini diakui bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PPBM yang juga pengasas parti itu, Kamarulazman Habibur Rahman.

Beliau antara individu yang bertanggungjawab mengajak ahli UMNO, termasuk Muhyiddin dan Mukhriz menyertai parti itu pada awal penubuhannya. Pada peringkat awal PPBM ditubuhkan kata Kamarulzaman, Muhyiddin gusar dengan kehadiran Dr Mahathir yang dilantik sebagai Pengerusi dengan kuasa politik.

Tak senang dengan Tun

"Muhyiddin dah boleh 'baca' kalau Tun ada kuasa politik dalam parti, Tun akan melangkaui semua. Dia (Muhyiddin) kecil hati dengan Tun kerana ambil peranan dia sebagai Presiden. Sejak dari awal lagi Muhyiddin tidak senang dengan kehadiran Tun.

"Dia mati-mati tidak benarkan Tun Mahathir ambil peranan Pengerusi yang ada kuasa politik. Dia hendak Tun jadi Pengerusi yang tiada kuasa politik.

"Tetapi beliau tidak mampu berbuat apa-apa. Ternyata apa yang dibimbangi Muhyiddin benar berlaku. Tun kini menjadi pemimpin nombor satu pakatan pembangkang," katanya.

Justeru kata Kamarulzaman, tidak mustahil wujud dua kem dalam PPBM selepas PRU-14 nanti, iaitu kem Dr Mahathir dan Mukhriz serta kem Muhyiddin.

"Muhyiddin sering menonjolkan dirinya sebagai pemimpin yang sangat menjaga Mukhriz apabila di depan Tun. Ia dapat dilihat apabila Mukhriz daripada seorang Naib Presiden akhirnya dipilih menjadi Timbalan Presiden.

"Kita nampak Muhyiddin hendak tunjukkan kepada Tun beliau sangat menjaga Mukhriz. Game yang dimainkan Muhyiddin ini tidak selamat untuk dirinya kerana Tun bukan orang yang tahu berterima kasih dengan orang yang berkorban untuknya," katanya.

Sementara itu, pensyarah politik Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mazlan Ali berpendapat, jika ada pemilihan PPBM selepas PRU-14, Muhyiddin tidak mungkin akan dapat menyaingi pengaruh Mukhriz yang dinaungi bapanya.

"Besar kemungkinan, Muhyiddin tidak mampu 'survive' dalam PPBM. Beliau dihormati kerana kedudukan senioriti dalam UMNO dan politik.

Muhyiddin tak agresif

"Selain faktor usianya yang lebih tua berbanding Mukhriz, Muhyiddin juga tidak begitu agresif. Peluang Mukhriz lebih luas kerana beliau dibayangi bapanya.

"Sekarang pun kita dapat lihat Muhyiddin seperti 'melukut di tepi gantang'. Kedudukan beliau dalam pakatan pembangkang pun tidak seperti Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Mungkin beliau (Muhyiddin) setara dengan Mohamad Sabu (Presiden Parti Amanah Negara)," katanya.

Pada 5 April lalu, Pendaftar Pertubuhan (ROS) membubarkan sementara pendaftaran PPBM susulan parti itu gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan kerana struktur organisasi akar umbi tidak dapat diselesaikan sehingga kini. Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Isnin lalu menggantung keputusan ROS itu.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com