KPN Nafi Polis Lewat Bertindak Kes Pembunuhan Saintis Palestin


KUALA LUMPUR - Pihak polis menafikan mengambil masa hampir sejam untuk bertindak balas terhadap kes pembunuhan saintis Palestin yang terbunuh di Setapak di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, lelaki dalam video yang tular mendakwa dia berada di lokasi kejadian dan cuba menghubungi polis tiga atau empat kali, namun tidak mendapat maklum balas

"Video dalam bahasa Arab itu dialih bahasa dan dimuat naik ke Facebook oleh orang lain.

"Dia membuat kesilapan ketika mengalih bahasa dengan mengatakan lelaki itu cuba menghubungi polis sebanyak 43 kali," kata beliau pada sidang media di ibu pejabat polis pada Ahad.

Mohamad Fuzi berkata posting Facebook tersebut kemudiannya diturunkan individu yang memuat naik video tersebut mengakui dia telah membuat kesilapan.

"Bagaimanapun video itu penuh dengan pembohongan kerana kami menerima panggilan pertama pada pukul 6.41 pagi dan menghantar sebuah kereta rondaan ke tempat kejadian pada pukul 6.44 pagi, dan kereta itu tiba di tempat kejadian pukul 6.49 pagi," katanya.

Beliau berkata, video yang tular itu adalah adalah berita palsu yang merosakkan reputasi Polis Diraja Malaysia dan negara di mata masyarakat antarabangsa.

"Kami menyeru lelaki dalam video untuk tampil ke depan dan membantu siasatan," katanya.

Tambah beliau, sebuah lagi video tular lain menunjukkan seorang lelaki ditangkap sebenarnya dikaitkan dengan kes berasingan.

Sumber: Mstar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com