Komunis Sebagai "Wira", DAP Boleh Ubah Sejarah Jika Pegang Kuasa


YAN - DAP dilihat berkemungkinan besar akan mengubah fakta-fakta sejarah, khususnya berhubung fakta mengenai Parti Komunis Malaya (PKM) yang digambarkan seolah-olah "wira negara" yang memperjuangkan kemerdekaan di negara ini.

Menteri Pendidikan, Dato' Seri Mahdzir Khalid berkata, DAP mampu berbuat apa saja sekiranya berkuasa di negara ini, termasuk menerapkan unsur yang mendakwa PKM juga merupakan sebahagian dari pada pejuang kemerdekaan.

"Saya tidak fikir DAP ambil kisah dengan sejarah. Dia akan bawa apa saja yang dia hendak. Kalau dia memerintah pun dia boleh ubah sejarah.

"Dia (mungkin) akan ubah mengikut kehendak semasa. Siapa yang dia mahu anggap sebagai wira dalam negara ini. Mereka bole buat apa saja. Yang penting mereka dapat kuasa. Dia dapat saja kuasa, dia tahulah nak buat apa.

"Sekarang ini dia diamlah, dia tutup mulut. Dia suruh orang-orang Melayu bergaduh di depan. Dr Mahathir, Wan Azizah, Mat Sabu, semualah... Yang bergaduh ini orang Melayu," katanya kepada Kedahnews.com di sini, semalam.

Mahdzir berkata demikian ketika diminta mengulas oleh wartawan mengenai pendekatan DAP yang mencalonkan Jamaliah Jamaludin, cucu kepada tokoh PKM, Shamsiah Fakeh, untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama, Selangor.

Jamaliah dalam kenyataannya baru-baru ini dilaporkan telah mengangkat neneknya itu sebagai seorang "wirawati dan pejuang bangsa" yang kononnya amat penting dalam sejarah kemerdekaan negara.

Fakta sejarah menukilkan Shamsiah mengangkat senjata dengan menyertai Rejimen Ke-10 yang merupakan sayap Melayu dalam PKM yang diketuai Chin Peng.

Justeru itu, Mahdzir mengingatkan semua pihak di negara ini supaya jangan sesekali mencuba untuk membawa unsur komunis ke dalam negara ini, termasuk menerusi ideologi politik.

"Dalam buku teks Sejarah di sekolah, ada dinyatakan siapa pejuang-pejuang kemerdekaan negara dan mereka yang menjadi musuh-musuh kepada negara.

"Jadi, kita letak secara jelas siapa pejuang-pejuang kebangsaan, sama ada Melayu, Cina, India, rakan-rakan kita bumiputera di Sabah dan Sarawak, yang berjuang untuk mempertahankan tanah air. Sama ada sebelum merdeka hingga merdeka.

"Turut dinyatakan juga adalah mereka yang bukan saja bermusuh dengan penjajah, tapi bermusuh dengan negara, termasuklah parti komunis, mereka ini tidak boleh dilihat sebagai wira negara,"

"Tidak ada parti komunis yang bertanding (pilihan raya), tapi kita janganlah bawa unsur-unsur yang boleh disalah erti oleh orang ramai," tegas beliau pada sidang akhbar yang diadakan di program Walkabout KPM di Sekolah Kebangsaan Sungai Dedap, di sini.

Terdahulu, beliau turut menjelaskan bahawa peruntukan yang telah diluluskan Kerajaan untuk Projek Penyelenggaraan Khas di daerah Kuala Muda - Yan secara keseluruhannya adalah berjumlah RM3.2 juta, tidak termasuk peruntukan lain daripada KPM.

Jelas beliau, projek-projek berkenaan telah pun diluluskan sebelum ini dan sudah diberikan kepada kontraktor yang dipilih secara undian.

"Sudah dicabut undi dan semuanya sudah diberikan kepada pihak kontraktor untuk melaksanakan projek-projek berkenaan," katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com