Kompleks Pekan Rabu Baharu Mula Operasi Hari Ini


ALOR SETAR – Kompleks Pekan Rabu baharu yang telah dinaiktaraf kini mula beroperasi secara berperingkat dengan menempatkan seramai 243 orang daripada keseluruhan 347 peniaga mula berniaga di situ sejak 25 Feb lepas.

Menelan kos sebanyak RM55.57 juta, Kompleks baharu tersebut menyaksikan bangunan empat tingkat itu dibina semula di tapak asalnya dan telah siap sepenuhnya pada Januari lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi serta Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT), Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata demikian kepada pemberita memetik Bernama selepas melakukan tinjauan mesra di kompleks berkenaan.

Turut hadir Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Kedah Fadzir Kamaruddin.

“Hari ini, kita boleh lihat orang kata betapa indahnya (Pekan Rabu baharu), dan saya rasa ini akan menjadi mercu tanda untuk negeri Kedah dan menukar landskap Alor Setar,” katanya.

Ku Abdul Rahman berkata, sebelum ini mereka berjanji kepada perniagaan di kompleks itu mereka akan dapat beroperasi sepenuhnya sebelum Ramadan ini.

Sementara itu, Ku Abdul Rahman meminta SKM berbincang dengan Koperasi Pekan Rabu Alor Setar Berhad supaya dapat mencari Prosedur Operasi Standard (SOP) penyenggaraan yang berkesan dalam usaha memastikan persekitaran kompleks itu terus dijaga dan memberi imej positif kepada pengunjung.

“…mula-mula ini, kita kena ada perancangan yang rapi tentang sistem penyenggaraan (Kompleks) Pekan Rabu, mesti ada SOP yang bertulis, berdokumen,” katanya yang turut menekankan pentingnya penjagaan tandas di kompleks itu dan memastikannya sentiasa bersih. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com