Kit Siang Akui Pembangkang Sukar Menang PRU-14


BATU PAHAT - Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mengakui pakatan pembangkang berhadapan tugas getir, malah sukar memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Beliau berkata, banyak analisa termasuk oleh pemerhati tempatan, melihat pembangkang hanya mempunyai 10 peratus peluang memenangi PRU-14, dan masa sama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, diramal hanya memerlukan 16.5 peratus undi popular untuk mengekalkan jawatan.

"Pembangkang amat sukar untuk menang PRU-14 tetapi bukanlah sesuatu yang mustahil.

"Kita hanya mampu menang jika berlaku enam tsunami membabitkan pengundi kawasan bandar, luar bandar, Sabah, Sarawak, wanita dan generasi muda, " katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Sementara itu, Kit Siang mengakui pakar perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari, akan menjadi calon DAP bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak.

Namun katanya, pengumuman yang dilakukan bekas penyandang kerusi DUN Tebing Tinggi, Ong Boon Piow, mengenai pencalonan Dr Abdul Aziz semalam melanggar disiplin parti kerana ia seharusnya dilakukan pemimpin tertinggi parti.

"Saya sahkan Dr Abdul Aziz bakal jadi calon DAP untuk satu kerusi DUN di Perak.

"Namun saya mahu tegaskan DAP tidak pernah dan tidak akan menuntut untuk menjadi Menteri Besar Perak seperti yang didakwa UMNO.

"Jika pembangkang menang di Perak, calon Menteri Besar adalah sesiapa saja di kalangan calon Pakatan Harapan tapi bukan dari DAP, " katanya.

Semalam, Boon Piow dilaporkan mengumumkan Abdul Aziz dicalonkan DAP untuk kerusi DUN Tebing Tinggi pada satu majlis ceramah di Stesyen 18, Ipoh.

Dalam perkembangan lain, Kit Siang berkata, DAP sedang menimbang membuat laporan polis terhadap Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, yang didakwa menyebarkan berita palsu dan memfitnah DAP.

Katanya, dakwaan Tengku Adnan supaya penjawat awam berhati-hati dengan DAP kerana parti itu dianggotai ramai evangelis Kristian sebagai tidak bertanggungjawab dan amat mengejutkan.

"Tindakan menyebar berita palsu ini adalah kempen untuk menakut-nakutkan rakyat. Kita sudah ada Akta AntiBerita Tidak Benar 2018 dan mahu bertanya adakah Tengku Adnan akan ditahan dan didakwa kerana berita palsu ini, " katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com