Ketua Sayap Pemuda PPBM Ditahan Kes Syabu


PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Hulu Selangor mengesahkan lelaki yang ditahan pihak berkuasa kerana positif dadah jenis syabu adalah pemimpin sayap pemuda parti politik berkenaan.

Ketua Bahagian PPBM Hulu Selangor, Badrul Hisham Jaafar yang dipetik dalam sebuah portal berita sebagai berkata ketua sayap pemuda parti itu tidak lagi aktif dalam pergerakan parti.

Malah beliau menyifatkan penahanan tersebut tidak memberi sebarang kesan kepada parti.

"Pada saya perkara ini tidak memberi impak apa pun (terhadap parti).

"Sebenarnya dia sudah tidak aktif sejak hampir tujuh bulan. Apabila tidak aktif kita abaikan sahaja sebab kita perlukan pemimpin yang agresif.

"Bagi saya kalau seseorang itu tidak aktif atau agresif kita lupakan saja," katanya.

Ketua sayap pemuda parti berusia 30 tahun itu sebelum ini ditahan di kediamannya di di Kampung Tengah Batang Kali, Hulu Selangor pada Sabtu lepas oleh sepasukan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selepas menerima maklumat daripada orang awam.

Menurut Badrul Hisham, beliau tidak mengenali rapat peribadi ketua pemuda parti itu tambahan lagi lelaki itu kerap tidak hadir sebarang mesyuarat diadakan.

"Kes ini masih dalam siasatan dan saya tidak boleh masuk campur," katanya.

Suspek kini direman di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu selama 14 hari bermula dari 14 hingga 27 April ini.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Sumber: mStar

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com