Ketua AMK Mengaku Pinjam 'Along' Untuk Beli Rumah


KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen diberitahu bahawa Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ampang, Datuk Adam Rosly Abdullah, membuat pinjaman sebanyak RM500,000 daripada 'Along' untuk menyelesaikan bayaran rumah yang dibeli secara tunai menerusi Public Bank bernilai RM1.2 juta.

Adam Rosly, 31, berkata beliau bertindak demikian berikutan tidak dapat membuat pinjaman bank bagi membiayai pembelian rumah banglo dua setengah tingkat yang separa siap di Kampung Melayu Ampang pada Jun 2016.

"Saya dapat maklumat berkenaan 'Along' daripada rakan iaitu Hassan. Saya tanya ada tak tempat untuk pinjam wang supaya deposit pembelian rumah sebanyak RM120,000 tidak 'burn'.

"Selepas mendapat wang berkenaan, saya perlu membuat bayaran balik kepada 'Along' dalam tempoh yang ditetapkan iaitu dibayar pada setiap minggu dan dimasukkan ke beberapa akaun berlainan secara tunai.

Jumlahnya tertakluk kepada persetujuan 'Along' terbabit," katanya ketika pemeriksaan utama oleh peguam Datuk Sulaiman Ismail pada hari pertama prosiding membela diri.

Adam Rosly didakwa dengan enam pertuduhan memberi pernyataan palsu dan mengemukakan dokumen palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika siasatan berhubung dakwaan kemewahan luar biasa yang dimilikinya pada 2017.

Selain membuat pinjaman dengan 'Along', Adam Rosly juga mengaku membuat pinjaman sebanyak RM180,000 daripada ibu mertua dan neneknya bagi menyelesaikan bayaran pembelian rumah banglo dua setengah tingkat itu.

"Saya juga menjual dua kereta iaitu kereta milik saya dan kereta milik isteri. Hasil jualan kereta itu saya peroleh RM250,000 manakala baki yang perlu dibayar kepada bank, saya peroleh menerusi pendapatan saya hasil daripada perniagaan secara langsung dan perniagaan tidak langsung," katanya.

Beliau menjelaskan perniagaan secara langsung ialah perniagaan jual-beli kereta sambung bayar di syarikatnya iaitu Gegas Mentari Holding Sdn Bhd dan perniagaan tidak langsung adalah keuntungan daripada pemberian bantuan modal kepada rakan-rakannya untuk menjalankan perniagaan.

"Saya juga memperoleh pendapatan sebanyak RM3,000 sebulan sebagai Pengerusi Perbadanan Pengurusan Pangsapuri Taman Industri Lembah Jaya, Ampang," katanya.

Beliau menjelaskan, dengan sumber kewangan yang diperoleh itu, beliau berjaya menyelesaikan bayaran rumah berkenaan pada 13 Feb 2017.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Adam Rosly didakwa memberi pernyataan palsu kepada dua pegawai penyiasat SPRM ketika percakapannya dirakam mengikut Seksyen 32 (8) (c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan, Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Pernyataan palsu itu adalah berhubung kerjayanya sebagai ahli perniagaan, pendapatan, kenderaan mewah, rumah banglo bernilai RM1.2 juta di Kampung Melayu Ampang yang dibeli secara tunai, pinjaman wang RM200,000 daripada ibu mertua dan arwah neneknya serta pinjaman wang RM500,000 daripada 'Along'.

Bagi pertuduhan ketiga sehingga keenam, lelaki itu dituduh menggunakan dokumen palsu iaitu dua perjanjian persetujuan pinjaman wang daripada dua individu dan dua baucer tunai daripada syarikatnya, Gegas Mentari Holding Sdn Bhd dengan niat untuk memperdaya pegawai penyiasat SPRM mengikut Seksyen 89 akta yang sama.

Dia didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di Ibu Pejabat SPRM, Blok D6, Parcel D, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 9 pagi dan 12.15 tengah hari 10 Februari 2017, dan antara 9 pagi dan 2 petang 22 Februari tahun sama.

Kesemua pertuduhan memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib dan perbicaraan di hadapan Hakim Allaudeen Ismail bersambung hari ini. - BERNAMA



No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com