Keselamatan Sekolah Pondok, Maahad Bertambah Baik


ALOR SETAR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mendedahkan tahap keselamatan di semua sekolah-sekolah pondok dan maahad-maahad tahfiz berdaftar, di seluruh negeri Kedah dan seluruh negara, dilaporkan semakin bertambah baik.

Sehingga kini, selepas pemeriksaan dan pendawaian semula elektrik dilakukan di premis terlibat, syukur belum ada kejadian yang tidak diingini dilaporkan berlaku membabitkan sekolah pondok atau maahad tahfiz.

“Selepas penubuhan HLC (High Level Committee @ Jawatankuasa Peringkat Tertinggi) serta peruntukkan RM30 juta yang diberikan Perdana Menteri, setakat ini belum ada tahfiz yang kita tekuni pembangunannya, kita buat pendawaian semula, dilaporkan berlaku perkara-perkara negatif seperti kebakaran dan sebagainya.

“Mudah-mudahan hal ini dapat kita kawal dengan baik…anak-anak, pelajar ini ini…apabila berlaku kejadian tidak diingini, jiwa kita sebagai kerajaan akan merasai satu kehilangan kerana mereka adalah anak bangsa yang mempunyai potensi besar pada masa hadapan..sebab itu kita mahu lihat mereka mendapat penjagaan sama rata di semua peringkat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Untuk Institusi Tahfiz dan Pondok 2018 peringkat negeri Kedah di Dewan Sri Zaleha, Naza Automotive Gurun, di sini, semalam.

Menurutnya, seminar seperti itu merupakan kerjasama terbaik dalam memberikan pendedahan kepada pelajar khususnya untuk menghadapi situasi tidak dijangka.

“Ini adalah kolaborasi yang amat baik, paling tidak kita harap ia akan dapat mengurangkan kesan-kesan negatif daripada kes litar pintas, kebakaran dan sebagainya…kerana pelajar akan mendapat pendedahan, mereka akan tahu tindakan awal untuk diambil jika berlaki kecemasan.

“Dalam mesyuarat terbaharu membabitkan isu tahfiz dan pondok, kita turut membincangkan mengenai pemasangan alat pemadam api, bahkan kita turut menekuni usaha berhubung pemasangan CCTV (kamera litar tertutup) di institusi terbabit,” katanya.

Sementara itu, program yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha itu, juga disertai lebih 1,000 pelajar daripada 64 maahad tahfiz dan 20 pondok berdaftar di seluruh negeri. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com