Kesedaran Mengenai Pengasingan Sisa Pepejal Masih Rendah Di Perlis


PADANG BESAR -Tahap kesedaran penduduk di Perlis berhubung pengasingan sisa pepejal masih rendah, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan & Kerajaan Tempatan, Perkhidmatan Bandar, dan Pembangunan Penjaja & Peniaga Kecil  negeri, Mat Hassan.

Beliau berkata kerajaan telah menjalankan pelbagai kempen kesedaran melalui media cetak dan elektronik termasuk mengadakan sesi penerangan bermula daripada peringkat prasekolah sehingga ke peringkat tertinggi seperti universiti, namun ia dilihat masih kurang berkesan.

"Rakyat menganggap sampah itu tidak bermakna, malah tidak mahu mengambil berat dan sengaja membuang sampah begitu saja, tanpa ada rasa tanggungjawab dalam diri," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak pelupusan sanitari Rimba Mas dekat sini, pada Isnin.

Beliau berkata, malah ada segelintir masyarakat terutama di luar bandar dengan tanpa segan silu membuang sampah ke dalam sungai atau laut yang boleh menyebabkan ekosistem marin terjejas dan musnah.

"Walaupun tiada tindakan tegas diambil setakat ini, kerajaan sedaya-upaya memberi didikan dan nasihat kepada orang awam agar tidak membuang sampah begitu sahaja," katanya.

Terdahulu, Mat dalam lawatannya ke tapak pelupusan yang beroperasi genap setahun itu berkata, penerimaan sisa pepejal di tapak itu sehingga Februari lepas adalah hampir 50,000 tan dengan purata sehari mencecah 150 tan.

Tapak pelupusan berkenaan dijangka mampu  bertahan antara lima hingga tujuh tahun dan kos penyelenggaraan dan pengoperasian mencecah RM1.8 juta setahun.- BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com