Kes Rayyan Hidayat: Luahan Hati Seorang Bapa…


SAYU… Rabu lalu, kita digemparkan dengan berita kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun, disyaki akibat didera oleh teman lelaki ibunya di satu lokasi sekitar Kangar, Perlis.

Mangsa, Mohamad Rayyan Hidayat Hairil Khan dipercayai dipukul dengan objek tumpul pada bahagian badan sehingga mengakibatkan kecederaan dalaman yang serius selain usus pecah.

Susulan kes itu, bapa kandung mangsa iaitu Hairil Khan Azali telah meluahkan rasa sedih atas apa yang menimpa anaknya itu disebabkan oleh perbuatan tidak berperikemanusiaan orang lain.

Hairil Khan menerusi beberapa perkongsian dalam laman sosial Facebook milik dirinya malahan mengakui terkilan kerana tidak mampu buat apa-apa sehingga anaknya terkorban.

Beliau pada masa sama, turut berharap kematian arwah anaknya itu mendapat ‘payung keadilan’ dan suspek mendapat pembalasan yang setimpal.

“Dukacita diberitahu pada yang hendak tahu keadaan laporan anak syurga. Sudah dapat laporan. Ada organ yang rosak. Pendarahan dalaman dan tulang rusuk patah.

“Ya Allah, kau masukkanlah mereka ini dalam neraka jahanam. Sesungguhnya mereka tidak layak bergelar manusia. Adik jangan risau. Hal keadilan adik di dunia ini abah akan bela.

“Tak ada sesiapa boleh buat macam-macam dekat anak abah. Dulu abah sudah janji. Abah akan jaga adik walau dengan apa cara sekalipun,” luah bapa mangsa.

Tidak terhenti di situ, bapa mangsa turut meluahkan rasa rindu terhadap Rayyan dengan mengimbau kembali kenangan mereka bersama selain mengakui bertemu arwah anaknya itu di alam mimpi.

“Alhamdulillah semalam adik datang juga dalam mimpi abah. Adik senyum dengan jubah putih adik. Walaupun tidak bercakap. Adik senyum sahaja dekat abah. Dengan kopiah adik.

“Terubat rasa rindu abah. Dulu masa adik kecil, berak dan kencing adik, semua abah yang uruskan. Baju adik pun abah yang basuh.

“Mungkin sebab itu rasa sayang abah dekat adik tak tahu nak cakap macam mana. Seronok adik datang semalam,” ujar Hairil Khan lagi.


Dalam pada itu, Hairil Khan yang merupakan seorang pekerja kilang; turut berterima kasih kepada orang ramai yang mendoakan dan tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan untuk anaknya.

“Saya ingin ucap jutaan terima kasih kepada semua yang tidak henti-henti mendoakan arwah anak saya. Kepada yang beri sumbngan dan hadir daripada saat arwah meninggal sehingga arwah dikebumikan.

“Allah SWT sahaja mampu balas jasa kalian semua. Kebenaran telah timbul. Yang salah tetap salah. Alhamdulillah. Anakku ada di syurga sekarang. Abah tak nampak. Tapi abah dapat rasa. Adik seronok dah dekat sana,” katanya lagi.

Nukilan lelaki itu jelas menyentuh hati ramai netizen yang bersimpati dengan nasib yang menimpanya yang mana rata-rata memohon agar lelaki itu supaya bersabar dan tabah menghadapi ujian terbabit.

Kami di Mynewshub turut mendoakan semoga arwah tenang disana dan ditempatkan bersama kalangan orang-orang yang beriman… Al-Fatihah –Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com