Kes Mesin Potong Rumput: Sekolah Dapat Surat Amaran


SEREMBAN - Kementerian Pendidikan telah mengeluarkan satu surat amaran kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Abdul Rahman, Gemas, atas kecuaian sehingga menyebabkan seorang pelajar perempuan maut akibat terkena bilah pisau traktor mesin rumput Februari lalu.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Pkharuddin Ghazali, berkata surat berkenaan dikeluarkan pada bulan ini kepada sekolah kerana membenarkan dua aktiviti berjalan serentak di padang sekolah iaitu raptai hari sukan dan pemotongan rumput.

"Pampasan insurans Takaful daripada kementerian sebanyak RM5,500 telah diberikan kepada keluarga mangsa pada 23 Feb lepas," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Majlis Pelancaran Gerakan Massa: Penghargaan "Terima Kasih Cikgu" peringkat Negeri Sembilan sempena Sambutan Hari Guru 2018, di sini, pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi, 13 Feb lepas, Nur Afini Roslan, 14, meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua rakannya Abdullah Hazlan, 14, dan Mohd Farhan Reza Badrol Hesam, 13, cedera terkena bilah pisau traktor mesin rumput di padang sekolah itu ketika menyertai raptai perbarisan sukan.

Terdahulu, majlis itu disertai seramai 500 orang terdiri daripada ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru, serta warga pendidik. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com