Kes Buli Di Sekolah Turun Sejak Pasang CCTV - Kamalanathan


KUALA LUMPUR - Jumlah kes buli berkurangan sebanyak 653 kes tahun lalu sejak kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di sekolah berisiko tinggi, kata timbalan menteri pendidikan.

Datuk P Kamalanathan berkata, sejak program pemasangan CCTV dilaksanakan, Kementerian Pendidikan mencatatkan 2,795 kes buli di sekolah pada 2017, lebih rendah daripada 3,448 kes pada 2016.

“Kita tidak mendabik dada mengatakan kita berjaya, sebaliknya kita dalam proses memperolehi kejayaan,” katanya di sidang Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab pertanyaan lisan William Leong (PKR-Selayang) mengenai perkembangan pemasangan CCTV di sekolah “hotspot”.

Kamalanathan berkata, sekolah yang dikenal pasti berisiko tinggi dipasang 8 CCTV dan 2 skrin pemantau yang dibekalkan syarikat keselamatan dilantik.

“Tiga lokasi wajib adalah pintu masuk utama, dalam pondok pengawal dan depan pintu masuk pejabat pentadbiran. Lima lagi ditentukan pentadbir sekolah.

“…makmal sains dan ICT, bengkel dan stor alat tulis, koperasi, bilik guru dan pintu asrama serta kawalan berisiko sederhana.

“Bagaimanapun, pemasangan CCTV hendaklah dilakukan di kawasan sesuai dan tidak bertentangan hak kebebasan atau privasi pelajar dan guru.”

Beliau berkata, sekolah berisiko tinggi didefinasikan sebagai sekolah berdekatan jalan besar, kawasan perumahan dan kawasan kerap berlaku kecurian dekat sekolah, tetapi bukan di dalam kawasan sekolah.

Sumber: FMT

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com