Kes Buli Di Sekolah Menurun


KUALA LUMPUR – Kes buli di sekolah menurun kepada 2,795 pada 2017 berbanding 3,448 kes pada 2016, kata Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan.

Beliau berkata penurunan itu antaranya disebabkan usaha pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah-sekolah berisiko tinggi.

“Namun, kita di pihak kementerian belum gembira lagi, kita tidak boleh mendabik dada katakan kita dah berjaya, penglibatan dan kerjasama pelbagai pihak akan lebih membantu mewujudkan keadaan sifar buli,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab soalan William Leong Jee Keen (PKR-Selayang) mengenai perkembangan terkini pemasangan CCTV di sekolah ‘hotspot’ yang dikenal pasti mempunyai rekod masalah displin bagi memantau perbuatan jenayah dan mengawal keselamatan pelajar di sekolah.

Kamalanathan berkata berdasarkan kontrak semasa di bawah Skop Kontrak Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Kementerian Pendidikan Malaysia, sebanyak lapan kamera dan dua monitor CCTV dipasang di setiap sekolah berisiko tinggi.

Beliau berkata ia melibatkan pemasangan CCTV di tiga lokasi wajib di sekolah iaitu pintu masuk utama, dalam pondok pengawal dan depan pintu masuk pejabat pentadbiran serta selebihnya dipasang berdasarkan lokasi ditentukan pentadbir sekolah seperti makmal sains dan teknologi maklumat, bengkel, stor alat tulis dan dewan makan.

Bagaimanapun, katanya, pemasangan CCTV perlu dilakukan di kawasan sesuai serta tidak bertentangan dengan hak kebebasan dan privasi murid serta guru.  - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com