Kerusi Presiden MOM Kembali Hangat


KUALA LUMPUR - Tepat pukul 5 petang esok merupakan tarikh tutup pencalonan bagi pemilihan barisan pemimpin Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan itu bermakna semua calon yang akan bertanding nama mereka bakal didedahkan.

Kerusi No. 1 MOM yang sebelum ini kurang diberi tumpuan setelah penyandangnya Tunku Imran Tuanku Ja’afar memilih untuk tidak mempertahankan kerusi Presiden selepas me­mimpin badan induk sukan negara itu selama dua dekad, kini hangat semula berikutan desas-desus bahawa Tan Sri Annuar Musa berkemungkinan akan cuba merebut jawatan yang telah ‘diwariskan’ kepada Timbalan Pre­siden ketika ini Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Dengan Norza, yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), bakal merebut jawatan lebih tinggi, kerusi Timbalan Presiden yang kosong pula hampir pasti menjadi rebutan Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi dan Datuk Megat Zulkarnain Omar Din yang merupakan Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka).

Turut mencuri tumpuan adalah kerusi Naib Presiden apabila difahamkan tiga daripada pe­nyandangnya mahu mempertahankan kerusi mereka manakala Tan Sri Mohamad Noor Abdul Rahim dan Datuk Dr S. Shamala dikatakan bakal mencabar mereka.

Menurut sumber rapat MOM, sebahagian besar calon yang akan bertanding sudah pun melancarkan kempen mereka sewaktu Sukan Komanwel 2018 berlangsung di Gold Coast, Australia baru-baru ini.

“Ketika berada di Australia, saya sudah berjumpa dengan beberapa wakil kepada calon yang akan bertanding untuk merebut kerusi dalam MOM dan hari ini juga saya ada menerima panggilan telefon daripada wakil kepada seorang calon.

“Wakil kepada Datuk Seri Abdul Azim ada menghubungi dan beliau sah bertanding untuk Timbalan Presiden MOM.

“Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Low Beng Choo pula akan mempertahankan kerusi beliau dan akan dicabar oleh Datuk Mohd. Nazifuddin Mohd. Najib yang merupakan Timbalan Presiden Taekwondo Malaysia (WTF),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Ketika ditanya mengenai kedudukan Annuar yang tidak menolak kemungkinan untuk bertanding, individu tersebut memaklumkan tiada masalah untuk bekas Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu menyertai perebutan tetapi setakat ini desas-desus itu masih belum dapat dipastikan.

“Saya tidak tahu sama ada Tan Sri Annuar benar-benar mahu bertanding kerana saya hanya mengetahuinya melalui akhbar. Tiada masalah untuk Tan Sri Annuar bertanding kerana beliau pernah memegang jawatan persatuan sukan di peringkat kebangsaan,” katanya lagi.

MOM bakal mengadakan AGM pada 5 Mei ini bagi memilih pe­nyandang jawatan baharu bagi penggal 2018-2021.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com